|
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

KERAJAAN LEMAH : LETAK JAWATAN DAN BUBARKAN
PARLIMEN !
Satu kesimpulan yang boleh dibuat oleh Dewan Pemuda PAS
Pusat (DPPP) terhadap isu kenaikan harga minyak yang hangat dan heboh
diperdebatkan ketika ini ialah kegagalan kerajaan dalam mentadbir negara
khususnya dalam perkara yang melibatkan pengurusan dan pengagihan hasil
pendapatan dan kekayaan negara. Malah wawacara Isu Semasa Khas bersama
Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Harga dan Bekalan
Diesel menjelaskan lagi kegagalan tersebut. Asasnya kegagalan ini
dilihat banyak berpunca daripada amalan kerajaan yang boros, membazir
dan tiadanya ketelusan dalam banyak perkara yang melibatkan projek
pembangunan negara. Kesannya kerajaan dilihat lebih banyak membazirkan
duit rakyat bagi mengatasi pelbagai masalah yang tidak sewajar timbul
daripada menggunakannya bagi tujuan kepentingan orang teramai dalam saat
getir seperti ini. Inilah persoalan sebenar yang melanda negara ini,
semuanya berpunca daripada sebuah kerajaan yang lemah dan tidak
bertanggungjawab terhadap rakyatnya.
DPPP melihat perkembangan ini secara serius terutama kegagalan kerajaan
dalam menangani beberapa isu yang secara jelas menyentuh kepada
kepentingan rakyat. Sikap kerajaan yang bertindak atas keputusan yang
tidak konkrit dan tiada hala tuju yang jelas lebih mempamerkan kerajaan
yang ada hari ini bersikap lepas tangan dengan membebankan sepenuhnya
kepada rakyat bagi setiap isu yang melanda negara. Isu kenaikan harga
minyak ketika ini adalah contoh yang terbaik untuk dinilai oleh rakyat
akan kebenaran ini. Tindakan, cadangan dan saranan yang dikemukakan
kerajaan yang bersandarkan kepada hujah politik dilihat lebih kepada
‘gula-gula’ untuk menenangkan emosi rakyat berbanding untuk
menyelesaikan permasalahan sebenar.
Isu penjimatan RM 16 billion yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Najib Tun
Razak di dalam wawacara tersebut yang dikatakan sebagai langkah proaktif
kerajaan bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang baik adalah hujah yang
dikutip daripada ‘tong sampah’ politik. DPPP mempersoalkan integriti
kerajaan di dalam hal ini. Mengapa di dalam isu pemberian subsidi harga
minyak kepada rakyat, kerajaan cukup berkira pada setiap sen yang
dibelanjakan tetapi pada ketika kerajaan membelanjakan berbillion
ringgit wang rakyat untuk menutup segala permasalahan yang timbul dalam
projek-projek pembanggunan kerajaan dan juga pada ketika kerajaan
‘meleburkan’ berbillion ringgit wang rakyat bagi menyelamatkan
syarikat-syarikat bermasalah tidak timbul sedikitpun isu penjimatan ?
Inikah yang dikatakan sebuah kerajaan yang prihatin dan sedang menuju ke
arah pengujudan sebuah kerajaan yang baik ? Jika hujah penjimatan RM 16
billion yang dibangkitkan DPPP menegaskan kepada kerajaan untuk
mencermin dahulu setiap tindakan yang mereka ambil sehingga menyebabkan
rakyat dan negara kerugian berbillion ringgit sebelum hendak menuding
kepada rakyat dan berbicara tentang penjimatan !
Begitu juga halnya dengan jaminan dan janji kerajaan untuk menyalurkan
penjimatan RM 16 billion tersebut ke dalam satu Kumpulan Wang Amanah
bagi tujuan penambahbaikan pengangkutan awam. Secara prinsipnya DPPP
memahami matlamat dan tujuan tersebut yang mana dengan penambahbaikan
sistem pengangkutan awam dinegara ini akan menggalakkan rakyat untuk
menggunakannya dan secara automatisnya kadar penggunaan kereta
persendirian akan berkurangan. Maka secara logiknya kadar penggunaan
minyak juga akan kurang dan penjimatan berlaku disini. Tetapi
persoalannya apa jaminan kerajaan bahawa bagi setiap sen dalam RM 16
billion tersebut akan membuahkan natijah yang diharapkan sedangkan telah
berpuluh tahun kerajaan menjanjikan penambahbaikan sistem pengangkutan
awam tetapi hasilnya jangan kata memuaskan malah lebih teruk lagi. Tidak
sedarkah kerajaan cadangan yang diuar-uarkan sebagai penyelesaian
berpakej ini hanyalah suatu teknik isu ‘rebranding’ bagi menutup
daripada isu yang sebenar. Bagi DPPP apa yang diselindungkan oleh
kerajaan ialah ketidakmampuan kewangan kerajaan untuk membangunkan
projek-projek kepentingan rakyat kesan daripada amalan pembaziran dan
boros. Maka atas kesedaran itulah DPPP sekali menegaskan kepada kerajaan
agar jangan cuba untuk memperbodohkan rakyat dengan hujah yang dangkal
kerana rakyat hari ini tidak semudah itu untuk diperkotak-katikkan. Jika
sebelum ini kerajaan pimpinan UMNO/BN begitu berbangga dengan gagasan
pembangunannya di dalam kempen-kempen pilihanraya sehingga dengan
angkuhnya mengatakan bahawa tanpa UMNO/BN negara tidak akan membangun
sekarang dimana keangkuhan itu buktikanlah !
Di dalam isu kesan kenaikan harga minyak yang akan menyebabkan kenaikan
harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Kerajaan memberi jaminan
tidak akan berlaku sebarang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan
bagi kenaikan harga minyak kali ini. Bagi DPPP ini adalah pembohongan
yang paling ketara sekali dilakukan oleh kerajaan. Kerap kali
pembohongan ini dijadikan modal untuk mewajarkan tindakan kerajaan
menaikkan harga minyak. Tidak sedarkah kerajaan pada 3 kali kenaikan
harga minyak tahun lalu, boleh dikatakan hampir keseluruhan harga barang
dan perkhidmatan naik secara mendadak. Jangan berhujah dengan mengatakan
bahawa kos minyak yang hanya melibatkan 1.5 peratus daripada keseluruhan
kos pengeluaran tidak akan menjadi faktor kepada kenaikan harga barang
jika harga minyak dinaikkan. Angka tetap angka tetapi realitinya
berbeza. Hendak atau tidak terutamanya bagi sektor peruncitan yang
profit marginnya kecil jika berlaku walaupun sedikit peningkatan kos
harga tetap perlu dinaikkan kerana perniagaan tetap sebuah firma yang
berusaha untuk memastikan keuntungan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan
sekarang yang profit margin nya bukannya pada kadar maksimun tapi minima
! Jadinya dimana logiknya hujah kenaikan harga minyak tidak akan
menyumbang kepada kenaikan harga barangan dan inflasi. Sekali lagi DPPP
mengingatkan kerajaan hari ini rakyat semakin bijak maka pastikan jika
hendak berbohong berbohonglah secara bijak !
Seperkara yang amat mengecewakan DPPP lewat daripada wawancara tersebut
ialah tidak berbangkitnya soal keuntungan berlipat ganda Petronas yang
dituntut rakyat untuk digunakan bagi mengurangkan beban yang mereka
hadapi ketika ini. Jelas sekali ketelusan tidak menjadi pegangan
kerajaan dalam hal ini. Desakan dan harapan rakyat untuk
setidak-tidaknya menikmati sedikit hasil dari bumi yang dipijak ini
dinafikan kerana keangkuhan kerajaan yang ada. Tidak sewajarnya ketika
rakyat begitu berharap akan kepada Petronas, tetapi jawaban yang diberi
hanyalah fakta yang menyatakan bahawa rizab minyak negara dijangka akan
habis pada 2010 dan untuk itu rakyat tidak wajar bergantung daripada
keuntungan Petronas. Rakyat tidak mempersoalkan tentang hal tersebut
tetapi rakyat membangkitkan tentang keuntungan puluhan tahun yang
dinikmati oleh Petronas sehingga mencecah ratusan billion. Adakah
menjadi satu kudis kepada kerajaan untuk menyalurkan keuntungan Petronas
kepada rakyat bagi mengurangkan beban mereka yang cukup terhimpit kini ?
DPPP mempersoalkan hujah kerajaan di dalam hal ini. Persoalan kehabisan
rizab minyak negara, tidak berkait langsung dengan cadangan pengagihan
keuntungan Petronas untuk kemaslahatan rakyat. Malah keuntungan Petronas
itu sendiri sebenarnya bukan sahaja datang dari sumber minyak di dalam
negara tetapi juga pada keuntungan perlaburan Petronas diluar negara.
Perlaburan Petronas diluar negara melibatkan 35 buah negara dengan
melibatkan perlaburan mencecah sehingga US$ 9.4 million. Malah kerajaan
sendiri pada tahun 2004 menerima sehingga RM 31.2 billion hasil daripada
dividen yang dibayar Petronas kepada kerajaan. Maka di dalam cadangan
pengagihan keuntungan Petronas kepada rakyat janganlah kerajaan
melarikan isu yang sebenar dengan fakta yang tidak wajar. Berdolak-dalik
dalam isu ini membuatkan rakyat keliru dan curiga tentang kemana
sebenarnya hasil keuntungan Petronas ini disalurkan adakah ianya
disalurkan kepada perbendaharaan negara atau kemana ?
Inilah kenyataannya, kenyataannya isu kenaikan minyak ini adalah bukti
betapa lemahnya kerajaan yang ada pada ketika ini. Pentadbiran kerajaan
didasarkan kepada idea usang dan lapuk. Retorik dan omongan kosong
politik turut dijadikan faktor kepada pembinaan negara. DPPP menegaskan
kepada kerajaan sudah sampai masanya kerajaan diam daripada beristilah
dan beretorik. Slogan tidak kira apa pun bunyinya tidak kiralah “bekerja
bersama saya”, mahupun “cemerlang, gemilang, terbilang” atau apa saja
ianya tidak memberi sumbangan apa-apa kepada rakyat. Hari ini rakyat
ingin melihat tindakan yang lebih proaktif, bukan madah dan slogan.
Namun begitu seandainya kerajaan terus angkuh dan menafikan aspirasi
rakyat ini pilihan yang ada kepada kerajaan ialah letakkan jawatan dan
bubarkan parlimen ! Kerana kerajaan yang ada pada ketika ini adalah
kerajaan yang mengkhianati aspirasi rakyat, kerajaan yang ada hari ini
adalah kerajaan yang muflis, kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan
yang tidak bertanggungjawab, kerajaan yang ada pada hari ini adalah
kerajaan yang tiada kredibaliti untuk membawa rakyat negara ini
kekemuncak kegemilangannya. Setidak-tidaknya itulah yang lebih bermaruah
daripada muncul dihadapan media kemudian membicarakan pembohongan demi
pembohongan kepada rakyat yang menaikkan mereka !
MAZLAN BIN ALIMAN
NAIB KETUA PEMUDA PAS PUSAT
2 SAFAR 1427 / 2 MAC 2006
|