|
Bantahan cadangan memansuhkan Perkara 121 (1A)
Perlembagaan Persekutuan
Kami dari organisasi-organisasi tersenarai di bawah dengan tegas menolak
resolusi yang dicadangkan dalam perbincangan meja bulat Parlimen
baru-baru ini yang dianjurkan oleh DAP yang mencadangkan pemansuhan
Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Cadangan pemansuhan itu jika diterima oleh kerajaan, akan merendahkan
status sistem kehakiman syariah, dan akan menyebabkan kehakiman mahkamah
syariah berada di bawah kehakiman sivil yang sekular sebagaimana berlaku
di era penjajah. Setiap orang Islam yang menghayati sistem hidup Islam
akan pasti menentang sebarang percubaan yang mahu meletakkan
undang-undang Syariah berada dibawah undang-undang sivil.
Isu yang berbangkit daripada kes Moorty, dan kes-kes lain sebelum ini,
ialah dakwaan berlakunya penafian untuk mendapat keadilan kepada orang
bukan Islam berhubung perkara yang berkait bidang kuasa mahkamah Syariah
kerana mereka dikatakan tidak mempunyai akses kepada mahkamah tersebut.
Perlembagaan menghadkan bidang kuasa mahkamah ini untuk mendengar hanya
kes di mana melibatkan orang Islam sahaja.
Isu-isu dalam kes seperti ini adalah berkaitan dengan pertikaian fakta
dan aplikasi Undang-undang Islam. Dalam kes Moorty, isunya ialah sama
ada beliau seorang Islam pada masa kematiannya. Untuk menjawab persoalan
ini pihak mahkamah perlu mengambilkira bukti dan memutuskan sama ada
beliau secara sukarela mengucap dua kalimah syahadah dan jika beliau
berbuat demikian, sama ada beliau berhenti menjadi Islam di bawah
undang-undang Islam berdasarkan kepada dakwaan amalannya yang tidak
Islamik, yang perlu dibuktikan.
Mahkamah Syariah adalah forum terbaik untuk memutuskan isu ini. Hakim
Mahkamah Syariah dilatih bukan hanya untuk memutuskan persoalan fakta
tetapi juga persoalan undang-undang Islam di mana hakim Mahkamah Sivil
tidak mendapat latihan mengenainya dan pengetahuan berkaitan
Undang-undang Islam.
Penyelesaian logik dan mudah kepada masalah ini ialah untuk meminda
Perlembagaan bagi memberikan kepada orang bukan Islam hak akses kepada
sistem kehakiman Syariah. Sebagai tambahan dari itu apa yang diperlukan
ialah sebuah Bench Syariah dalam Mahkamah Persekutuan, yang hakim-hakimnya
dianggotai oleh mereka yang cukup berkelayakan dan berwibawa dalam
undang-undang sivil dan Islam, untuk mendengar dan memutuskan rayuan
yang dikemukakan daripada sistem kehakiman Syariah di mana kes
melibatkan pihak Islam dan bukan Islam.
Dilaporkan bahawa perbincangan berlangsung dengan begitu hangat sekali
dalam pertemuan meja bulat itu dan dakwaan juga dibuat terhadap angkatan
tentera yang kononnya memaksa kanak-kanak beragama Hindu untuk menjadi
Islam. Adalah amat tidak bertanggungjawab di pihak DAP dan mereka yang
berjuang menentang aplikasi undang-undang syariah dalam komuniti Islam,
untuk mengelirukan isu ini dan membakar perasaan perkauman.
Adalah juga suatu yang tidak wajar dan salah di pihak bekas Peguam
Negara, Tan Sri Abu Talib Othman untuk mengecam Hakim-hakim Mahkamah
Sivil dengan mendakwa mereka kurang keberanian dan menyalahkan mereka
dalam konflik yang timbul daripada Perkara 121 (1A). Beliau, yang turut
bertanggungjawab merangka Perkara 121 (1A) itu, seharusnya dapat
menjangka konflik seperti itu dan menyediakan penyelesaian dengan cara
menyediakan akses kepada bukan Islam dalam sistem kehakiman Syariah.
Cadangan beliau supaya Perlembagaan atau Courts of Judicature Act
dipinda untuk memestikan hakim-hakim mendengar kes tidak mengira apa
bidang sekalipun sebenarnya layak disifatkan sebagai seorang pegawai
penjajah yang tidak sensitif kepada sejarah, budaya dan aspirasi warga
yang merdeka.
Kami menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka
yang memutarbelitkan isu akses kepada mahkamah, dan mengapikan perasaan
perkauman untuk tujuan politik dan tujuan lain.
Kami seterusnya mencadangkan dan menggesa kerajaan supaya meminda
Perlembagaan untuk menyediakan akses kepada orang bukan Islam dalam
Mahkamah Syariah dan melantik anggota kehakiman syariah dalam Mahkamah
Persekutuan untuk mendengar rayuan dari pihak-pihak yang berkaitan
daripada kes-kes Mahkamah Syariah yang melibatkan pihak Islam dan bukan
Islam. Hanya hakim yang mempunyai integriti yang tidak dipersoalkan dan
pengetahuan yang mendalam mengenai undang-undang sivil dan Syariah
sahaja perlu dilantik sebagai anggota Hakim dalam Bench Syariah yang
kami cadangkan itu.
HAJI MOHD AZMI ABDUL HAMID
Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Bertindak Undang-Undang Syariah
Di perakui dan dikeluarkan bersama oleh:
1.Datuk Syeikh Azmi Hj.Ahmad
Pengerusi Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah Malaysia ( ISRA)
2.Prof Madya Saleh Hj. Ahmad
Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
3.Syeikh Hj. Abu Bakar Hj. Awang (PUK)
Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah
4.Hj. Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)
5.Mohammad Buruk
Presiden Persatuan Peguam Syaraei Malaysia (PGSM)
6.Yusri Mohammad
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
7.Zaid Kamaruddin
Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM)
8.Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS)
|