|
HENTIKAN LAUNGAN 'HIDUP PAK LAH!', GANTIKAN
DENAN 'BANGUN PAK LAH!'
Oleh Abang Mahmor
Di hari pelancaran Keluargaku Ahli UMNO di PWTC baru-baru ini pada 21
Januari 2006, masih terngiang-ngiang di telinga saya jeritan lantang
dannyaring suara kumpulan ahli Putera UMNO melaungkan "Hidup Pak Lah!"
beberapa kali.
Perkataan itu tidak lagi relevan pada ketika ini untuk pemimpin kita.
Mungkin ia lebih sesuai kalau dilaungkan "Bangun Pak Lah! Bangkit Pak
Lah! Berjuang Pak Lah!"
Begitu juga sepatutnya dilaungkan kepada pemimpin-pemimpin lain.
Benda-benda lain sudah kita ubah tetapi paten laungan semangat juga
perlu diubah.
Pada lojiknya, memang tidak perlu penyokong atau anak-anak buah ahli
politik menggunakan perkataan 'Hidup Si Anu, Hidup Si Anu!' Ia tidak
membawa apa-apa erti.
Hanya lebih kepada mirip mengampu semata-mata. Si penjerit belum tentu
ikhlas melaungkan perkataan itu.
Terus terang saya katakan, saya dengan sendiri jadi malu apabila ada
orang melaungkan 'Hidup si anu!' di mana-mana. Jauh sekali mahu saya
mahu meluahkannya.
Selalunya, apa yang saya lihat gelagat pemimpin yang sering melaungkan 'Hidup
si anu! itulah yang akhirnya 'membunuh' ketuanya apabila ada yang tak
kena. Kita kena terima hakikat bahawa hidupnya pemimpin bukan
kerana laungan atau doa. Mereka hidup atas keyakinan rakyat.
Jeritlah berapa lantangpun, kalau pemimpin itu tak guna, tak guna juga
akhirnya. Pemimpin yang berkesan ialah pemimpin yang benar-benar
memimpin, bukan pemimpin yang dipimpin. Tapi lebih berkesan, jika
pemimpin itu pernah dipimpin dengan baik.
Sehubungan itu, lahirlah pemimpin yang takut dengan bayang-bayang
sendiri lantas bertindak mahu menonjolkan diri dengan pelbagai cara.
Rata-rata hari ini, pemimpin peringkat negeri terutamanya suka sangat
menayang diri mereka bersama gambar perdana menteri di tepi-tepi jalan
mengambil tempat jenama iklan.
Yang paling dahyat sekali ialah apabila ada pemimpin parti yang tumpang
mengambil kesempatan meletakkan gambarnya bersama Pak Lah di bontot
teksi (lihat gambar).
Hanya dengan mahu menyatakan selamat menyambut hari Merdeka, gambarnya
perlu berada sama dengan lebih kepada mengampu meletakkan gambar Pak Lah
sama.
Gambar itu dijaja pula di mana-mana ceruk Kuala Lumpur tanpa segan silu.
Pelancong pun tersenyum sinis ketika memuatkan barangan di belakang
teksi.
Lain pula gelagat di negara-negara maju. Gambar-gambar mereka akan
terpampang di jalanan ketika demonstrasi atau merusuh. Gambar pemimpin
mereka dicaci, dibakar, dipijak-pijak.
Itulah sebabnya perlu dijelaskan di sini, cara kita mengagung-agungkan
pemimpin amat berlebihan hingga menimbulkan rasa muak rakyat. Ia juga
merupakan satu perkara riak nyata dari kalangan pemimpin kita.
Pergilah ke mana-mana negeri, kita akan dapat lihat begitu banyak papan
tanda sebesar rumah menghiasai jalanan memaparkan gambar Menteri Besar/Ketua
Menteri bersama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengiklankan sama ada
Islam Hadhari mahupun kemajuan negeri mendedahkan mahu jadi negeri maju
lebih cepat dari Wawasan 2020.
Kalau tak umumkan maju pun, kita terus maju. Kita tak perlu jambatan
pun, kerajaan akan buat seperti apa yang berlaku dengan jambatan kedua
ke Singapura! Pada hal, di Selangor yang gah mengatakan negeri maju,
masih banyak tempat yang mundur lagi. Jalan raya masih
berlubang-lubang. Banjir kilat masih berlaku, rumah setinggan
masih ada, peminta sedekah semakin ramai.
Negeri Kedah pun di zaman Datuk Seri Syed Razak begitu bangga
dengan memaparkan papan tanda Kedah jadi negeri maju lebih awal. Tapi
tak juga maju. Yang maju perkara-perkara lain.
Samalah apabila sesuatu tempat itu apabila diisytiharkan bertaraf
bandaraya, wajahnya serupa juga. Yang benar-benar dinaikkan taraf ialah
pejabat Datuk Bandar yang mana orang-orang kampung meleleh air liur
melihatnya.
Yang dapat kita rasa nikmatnya ialah di hari-hari perayaan. Seperti
juga Wilayah Persekutuan yang dirasakan sedikit nikmatnya ialah tambahan
banding di tiang-tiang lampu, lampu-lampu hiasan dan cuti am.
Menghabiskan duit lagi ada!
|