BALIK KE MUKA UTAMA

Email dari pelayar ( bukan pendapat www.umno-reform.com )


Badrul Hisham Shaharin,

No. 65-2, Jln Thambipillai 

off Jln Tun Sambanthan, 

Brickfields, 50470 K.Lumpur

Tel : 03 2273 7012 Fax : 03 2274 4931

H/P : 017 6688 404

url : http://www.chegubard.blogspot.com



22 Disember 2004

Kepada

Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi,
Perdana Menteri Malaysia,


SURAT PANJANG BUAT PM : 9 BULAN TSUNAMI MANGSA TERUS DERITA


Di harap YAB Datuk Seri serta keluarga sentiasa dalam rahmatnya. 

Pertama sekali saya amat mengharapkan surat yang saya hantar ini benar – benar dapat dibaca oleh YAB Datuk Seri sendiri dan bukan sekadar dibaca oleh pegawai – pegawai Pejabat Perdana Menteri dan kemudian di bakul sampahkan.

Keduanya perlu saya tegaskan surat ini ditulis atas kapasiti peribadi dan perlu tindakan segera dengan mengenepikan label dan fahaman politik. 

Walaupun saya merupakan pimpinan Angkatan Muda Malaysia, Parti Keadilan Rakyat namun surat ini ditulis dengan ikhlas setelah melihat dengan mata sendiri penderitaan rakyat dalam negara makmur Malaysia ini.

YAB Datuk Seri ;

Sembilan bulan lalu, ketika bencana tsunami melanda persisiran Lautan Hindi termasuk Malaysia, bantuan datang mencurah dari serata dunia. Di Malaysia sahaja mengikut kenyataan rasmi kerajaan, RM68.56 juta dikumpulkan dari sumbangan orang ramai. Itu belum dicampur dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta lagi.

Dengan wang sebanyak itu, berbagai janji ditaburkan kerajaan, termasuk menyediakan perumahan bagi mangsa yang hilang tempat tinggal dan juga mengantikan peralatan ke laut bagi nelayan-nelayan yang menjadi mangsa tsunami.

Selepas sembilan bulan berlalu, saya bersama rombongan Angkatan Muda Muda Malaysia dan wartawan Suara Keadilan memenuhi jemputan penduduk Kampung Sungai Udang Yan Kedah, antara kawasan yang dilanda tsunami tetapi kurang mendapat liputan media massa untuk mendengar masalah mereka.

Penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa dalam mengagihkan bantuan tsunami yang bernilai puluhan juta ringgit menyebabkan 40 keluarga nelayan di Kampung Sungai Udang Yan Kedah menderita tanpa pekerjaan.

Sudahlah bantuan yang dijanjikan bertukar menjadi pinjaman, syarat untuk mendapat pinjaman adalah membeli peralatan ke laut melalui ajen yang dilantik kerajaan, kemudian peralatan yang dibeli mahal dari kebiasaan dan akhirnya ia tidak boleh digunakan pula kerana berkualiti rendah. 

Sudah jatuh ditimpa tangga itulah nasib mereka di bawah kerajaan yang rasuah.

Ke mana wang sumbangan orang ramai bernilai RM68.56 juta untuk mangsa tsunami dibelanjakan? Persoalan itu penting terutamanya bagi nelayan-nelayan Kampung Sungai Udang.

Kampung itu tidak terkenal seperti Kota Kuala Muda yang menjadi fokus utama media massa ketika bencana tsunami melanda. Barangkali kerana di kampung ini tidak berlaku kematian akibat bencana itu.

Musibah yang melanda menyebabkan mereka tidak dapat keluar ke laut untuk mencari rezeki bagi anak dan isteri di rumah. Bot karam bersama enjin dan pukat. Sedangkan menangkap ikan adalah satu-satunya kemahiran kebanyakan mereka yang diwarisi turun temuran.

Che Omar bin Sofar, 54, antara mangsa tsunami yang mulanya dijanjikan bantuan kerajaan melalui Dana Tsunami kemudian bertukar kepada Dana Khas Nelayan. Bantuan separuh pinjaman itu diberikan dalam bentuk bot, pukat dan enjin yang diruskan oleh Persatuan Nelayan Yan Kedah.

“Saya membuat pinjaman untuk membeli bot panjang 20 kaki yang dijual oleh persatuan dengan harga RM6,400, pukat RM1500 dan enjin 30 kuasa kuda berharga RM4.400, jadi semua sekali saya pinjam RM12,300 dengan perjanjian separuh dari jumlah pinjaman itu dibayar balik kepada kerajaan melalui persatuan,” cerita beliau.

Menurut seorang lagi nelayan Kampung Sungai Udang, Mustapa Ahmad, 50 tahun, orang kampung seperti beliau dan rakan-rakan tidak mampu untuk membeli sendiri peralatan menangkap ikan itu kerana kemiskinan jadi mereka bergantung kepada persatuan bagi menjaga kebajikan mereka.

“Walaupun mahal kami ambil juga sebab tidak ada pilihan, anak-isteri perlu diberi makan, saya harap lepas buat pinjaman dan dapat segala peralatan, boleh ke laut menangkap ikan, tetapi apa yang berlaku sebaliknya,” keluhnya yang mempunyai lapan orang anak.

“Apa yang saya kesalkan adalah bot yang dibeli sendiri tanpa pinjaman dari persatuan, lebih besar dan murah, bot yang dibeli melalui persatuan nelayan mahal, tidak berkualiti dan karam bila di bawa turun ke air,” katanya sedih.

Menurut Mustapa, bot sebesar bot beliau dan Che Omar jika dibeli sendiri hanyalah RM5000, pukat hanya RM1000 begitu juga enjin yang hanya berharga RM3,800 di kedai.

“Walaupun kami bantah pada mulanya, tapi kami tidak ada pilihan, kami orang miskin, tidak ada modal, anak-anak kami ramai, jadi kami ambil pinjaman dengan harapan kami dapat bekerja semula, tapi masalah kualiti bot pula menyebabkan kami tidak dapat turun ke laut,” kata Mustapa sambil diiyakan oleh Che Omar.

Ketika masalah itu diberitahu kepada persatuan, persatuan berjanji untuk membaik pulih bot itu tetapi malangnya setelah bot dibaik pulih ia masih tidak boleh diggunakan.

“Baru-baru ini, saya nyaris tenggelam di tengah laut apabila bot yang telah dibaiki bocor secara tiba-tiba, saya seorang di tengah laut, mujur ada nelayan lain, yang menangkap ikan di kawasan berhampiran, mereka menunda bot saya hingga ke pengkalan,” cerita Che Omar.

Bot-bot yang tidak boleh digunakan ditempatkan di bengkel sementara yang terletak di perkarangan pejabat Persatuan Nelayan Yan.

Kami dibawa oleh Che Omar ke tempat bot dibaiki. Ketika kami tiba di kawasan bengkel ada terdapat lebih 10 buah bot tersadai di situ. Dua pekerja sedang bertungkus lumus membaiki salah sebuah bot di situ.

Bot yang diperbuat oleh papan plywood dan disalut fiberglass terbiar berhujan dan panas. Salah seorang pekerja dari Terengganu itu memberitahu kami, syarikat Fistec Trading yang didaftarkan di Terangganu diberi tanggungjawab menyiapkan bot-bot tersebut. 

Bot yang ditempah oleh persatuan nelayan itu dibuat secara mass production dengan setiap satu mengambil masa seminggu untuk di siapkan. Mana-mana bot yang tidak boleh digunakan, kerana bocor, atau sebagainya, akan dibaiki sebelum diserahkan kembali kepada nelayan.

Tetapi ada juga bot seperti milik Che Omar yang tiga kali dibaiki namun masih bermasalah. 

Beliau seperti putus asa, kerana tidak tahu pada siapa hendak mengadu. Menurutnya, ahli parlimen kawasan Yan, Datuk Badaruddin Aminuddin tidak pernah datang melawat.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak selesaikan masalah bot ini, persatuan suruh baiki, wakil rakyat tidak nampak muka, tidak ada siapa untuk kami mengadu, saya ada enam orang anak, dulu sebelum tsunami, saya ke laut guna bot sendiri, boleh juga duit RM40, 50 sehari,” katanya sedih.

Seorang lagi nelayan yang turut mengalami nasib yang sama adalah Masri Ibrahim, beliau tinggal kira-kira 10 kilometer dari Kampung Sungai Udang.

Bot yang dibelinya dari Dana Khas Nelayan juga tidak boleh digunakan, lebih malang lagi sudah dua kali beliau terpaksa mengupah lori untuk menunda botnya dari pengkalan Sala ke pejabat Persatuan Nelayan Yan untuk dibaiki.

“Sekali tunda kena bayar pada lori RM200, dua kali tunda RM400, sama dengan duit setengah bulan turun ke laut,” luah beliau.

Menurutnya, nelayan-nelayan seperti beliau terpaksa berhutang untuk menjelaskan bayaran lori setiap kali ditunda.

“Gelang emas isteri saya sudah habis digadai, setiap kali anak menangis hendak minum susu, saya seperti hendak menangis sama, macam mana hendak cari duit jika tidak boleh ke laut,” kata beliau sebak.

“Harapan saya minta pihak-pihak berkenaan selesaikan masalah kami, kami hendak duit kami balik, biar kami sendiri yang beli bot kami sendiri, tidak perlu guna orang tengah lagi,” katanya yang serik membuat pinjaman Dana Khas Nelayan.

Kejadian seumpama itu tidak berlaku hanya kepada bot milik Masri, Che Omar dan Mustapa sahaja, dari 40 nelayan yang mengambil Dana Khas Nelayan untuk membeli bot seperti Che Omar, 27 daripadanya tidak boleh digunakan.

Hasil siasatan kami mendapati beberapa perkara meragukan wujud di sebalik masalah yang dihadapi oleh nelayan-nelayan di sekitar Kampung Sungai Udang.

Pertama adalah pakej bantuan tsunami untuk nelayan di sini ditukar nama ke Dana Khas Nelayan yang menyalurkan bantuan dalam bentuk separuh pinjaman.

Persoalan yang timbul adalah kepada siapa pinjaman itu perlu dibayar? Rata-rata nelayan yang kami temui tidak pasti kepada siapa mereka perlu bayar kembali pinjaman tersebut. Apa yang pasti bagi mereka orang kampung, sudah tentulah pinjaman itu perlu dibayar kembali kepada Persatuan Nelayan yang menjadi orang tengah.

Jika benar Persatuan Nelayan yang mengutip pinjaman? Apa aktanya, kuasanya? 

Persoalan kedua adalah kenapa Persatuan Nelayan mengenakan bayaran yang mahal dari harga pasaran kepada setiap peralatan menangkap ikan yang dibeli oleh nelayan.

Bukankah peralatan-peralatan itu dibekalkan oleh pihak yang dikenal pasti dan sepatutnya mendapat harga yang lebih murah kerana dibeli dengan banyak? Apakah ada pihak yang mengaut keuntungan dari kesengsaraan nelayan-nelayan ini?

Dan persoalan ketiga adalah kenapa kualiti pembuatan bot-bot tersebut terlalu rendah hingga tidak dapat digunakan? 

YAB Datuk Seri ;

Itulah kisah yang dirakamkan setelah sepetang kami habiskan bersama penduduk Kg. Sg udang. 

Esoknya pula saya dan rombongan telah melangkah pula ke Kota Kuala Muda, jangkaan kami bahawa sudah tentu mangsa tsunami di sini telah sedia pulih menjalankan kerja seharian seperti yang digembar gemburkan melalui media.

Ternyata keadaan berbeza. Sememangnya bantuan bercurah di kawasan ini tetapi pengagihan telah di selewengkan.

Abdul Wahab Ariffin bersama isteri dan tiga anak merenung nasib mereka. Lima beranak ini kehilangan rumah yang dihuni kerana tsunami. Bot yang digunakan untuk ke laut selama ini tenggelam bersama segala peralatan lain.

Malang seperti tidak henti menimpa, bantuan kerajaan yang diperolehi ditarik balik. Semuanya berpunca dari kritikan beliau terhadap beberapa penyelewengan yang berlaku ketika pengagihan bantuan tsunami dibuat.

Enjin jenis Mercury 60 kuasa kuda dan pukat udang satu lapis sepuluh banih yang diperolehinya perlu diserahkan semula kepada pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Harapan untuk memulakan hidup baru musnah sama sekali. 

Lebih malang lagi, bukan hanya bantuan pukat dan enjin yang dirampas, Rumah Mesra Rakyat yang dijanjikan juga ditarik balik. Kini mereka sekeluarga menyewa rumah untuk meneruskan kehidupan di Kampung Kepala Jalan, antara tempat paling hebat dilanda tsunami 26 Disember 2004.

Ketika ditemui, Abdul Wahab menceritakan antara kritikan beliau terhadap pihak yang berkepentingan mengagihkan bantuan tsunami di Kota Kuala Muda adalah bantuan yang diterima tidak menyeluruh.

“Rumah transit yang dibina itu hanya 120 unit sedangkan yang menjadi mangsa 400 keluarga jadi macam-macam timbul, ada yang satu keluarga dapat dua rumah, kerana berkeluarga dengan pihak yang berkepentingan,” kata beliau.

YAB Datuk Seri ;

Tinjauan kami ke Kota Kuala Muda ini mendapati selepas sembilan bulan kejadian tsunami berlaku, Projek Rumah Mesra Rakyat yang dijanjikan kerajaan baru hendak dimulakan, ketika kami tiba di perkarangan rumah transit yang dibina lebih awal, beberapa pekerja dalam proses membahagikan tapak-tapak rumah yang bakal didirikan.

Menurut salah seorang penghuni rumah transit itu, Abdul Rahman Murad, kerajaan sebelum ini memberitahu bahawa lebih 600 unit Rumah Mesra Rakyat akan dibina untuk mangsa tsunami di Kota Kuala Muda.

Dengan anggaran RM40 ribu seunit dan kerajaan akan menanggung separuh dari kos tersebut dan mangsa tsunami akan menanggung selebihnya.

“Kini selepas sembilan bulan kerajaan hanya mendirikan 150 unit sahaja bukan 600 unit seperti yang dijanjikan, masalahnya mangsa-mangsa tsunami yang menyewa rumah di luar dari kawasan rumah transit tidak akan mendapat Rumah Mesra Rakyat,” jelas beliau.

Persoalan yang kami tanyakan kepada orang kampung tersebut ke mana bantuan jutaan ringgit dibelanjakan?

Abdul Wahab dan Abdul Rahman membawa kami ke dewan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Lihatlah papan tanda pembinaan dewan ini, peruntukkanya diambil dari tabung tsunami, tapak ini dewan orang ramai, sekarang ini dewan LKIM, maknanya orang ramai perlu minta kebenaran LKIM sebelum boleh menggunakan dewan ini,” kata Abdul Wahab yang menunjukkan kepada Suara Keadilan Dewan LKIM yang tidak digunakan lagi walaupun telah siap dibina.

Menurutnya, selain pembaziran dalam pembinaan Dewan LKIM, kerajaan juga membazirkan wang sumbangan orang ramai membinaan bangsal pukat untuk nelayan yang terletak jauh dari pengkalan bot berlabuh.

“Buat bangsal pukat jauh dari pengkalan, siapa hendak usung pukat yang berat ke sana? Kalau hendak bina kena bina dekat dengan pengkalan baru boleh digunakan,” tambah beliau lantang.

Dan kerana kelantangan beliau itulah bantuan kepada keluarganya ditarik balik. Namun Abdul Wahab tidak menyesal baginya, apa yang salah perlu ditegur.

Kisah Abdul Wahab yang ditarik bantuan kerana lantang mengkritik penyelewengan bantuan tsunami menarik perhatian KeADILan bahagian Sungai Petani.

Masalah Abdul Wahab yang masih menyewa dan tidak punya kediaman sendiri telah diselesaikan oleh KeADILan Sungai Petani melalui bantuan Pusat Pembangunan Komuniti Sungai Petani (Peniti) dan Kelab Rotary Metro Kuala Lumpur Abdul Wahab akan membina rumah beliau sendiri dalam sikit masa lagi.

YAB Datuk Seri ;

Mengapa derita ini perlu di tanggung mereka. Atas nama kemanusian saya merayu tindakan segera YAB Datuk Seri dalam perkara ini. Seharusnya dalam sebuah kerajaan Reformasi yang mengamalkan Islam Hadhari perkara seperti ini tidak patut sama sekali berlaku. 

Akhir sekali saya amat mengharapkan jawapan dari YAB Datuk Seri mengenai perkara ini, bertindaklah sendiri jangan hanya bertindak atas pandangan dan nasihat orang di sekeliling.

Berilah peluang diri YAB Datuk Seri mendapat maklumat dari sumber alternative, untuk mendapatkan gambaran lanjut lagi mengenai kedudukan semasa mangsa tsunami diharapkan YAB Datuk Seri membaca Suara Keadilan keluaran terbaru yang akan terbit 27 September ini. Saya bersedia menguruskan penghantarannya jika YAB Datuk Seri mahu membacanya. 

Sekian dan terima kasih.

BADRUL HISHAM SHAHARIN



Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762