|
formmail.to: umnoreform
From_Email: azdy79@hotmail.com
Pesanan: ISU PENGGILIRAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
Beberapa hari yang lalu sekali lagi isu penggiliran Ketua Menteri Pulau Pinang
dibangkitkan oleh pemimpin UMNO. Kalau dua tahun sudah isu ini dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO Tanjong ketika itu iaitu Saudara
Raja Munir, kini dicanang kembali oleh Ketua UMNO bahagian Bukit Mertajam iaitu YB Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Walaupun yang mengemukakan cadangan adalah dua individu yang berbeza, namun alasan dah hujah yang diberikan tetap sama iaitu bila yang
menjadi Ketua Menteri adalah Melayu barulah Melayu Pulau Pinang tidak dipinggirkan dan akan
terbela. Apakah jaminannya bahawa bila yang menjadi Ketua Menteri ialah orang
Melayu barulah nasib orang Melayu Pulau Pinang akan terbela?
Isu Melayu terpinggir ini bagi saya tidak ubah seperti seorang pemain bolasepak
yang gagal menjaringkan gol. Apabila bola gagal disepak dengan baik dan tidak menepati sasaran, yang dipersalahkan ialah tiang gol.
Begitulah juga dengan isu Melayu di Pulau Pinang. Apabila penguasaan
ekonomi semakin berkuranagan, ketinggalan dalam bidang pendidikan, kuasa
politik yang semakin kehilangan, Ketua Menteri berbangsa Cina yang dijadikan alasan. Bila ada sesuatu pihak mula
membangkitkan isu ini, maka akan adalah pula pihak-pihak lain yang akan menokok
tambah, menyokong dan seterusnya mendesak pemimpin negara melakukan sesuatu.
Mungkin bagi sesetengah pihak, mereka beranggapan apabila membuat kenyataan sensasi seperti ini mereka dianggap perjuang bangsa Melayu
atau wira di kalangan kawan-kawan namun saya melihat kenyataan seperti ini sebenarnya memalukan
orang Melayu dan membuka pekung di dada. Kita sebenarnya memberitahu kepada
semua orang bahawa kita lemah dan tidak mampu bersaing dengan bangsa lain. Ini
sebenarnya mengaibkan bangsa kita sendiri.
Saya bukannya ingin menjadi pembela kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Khoon atau ketua menteri sebelumnya apatah lagi untuk menyokong kaum Cina.
Cuma bagi saya jatuh bangun, maju mundur, hina mulianya sesuatu bangsa itu terletak pada diri sendiri. Segalanya terletak pada diri kita
sendiri bukannya orang lain yang menentukan kejayaan kita. Jika kita gagal, yang patut dipersalahkan ialah diri kita.
Setahu saya, kehidupan di Pulau Pinang tidak ada bezanya dengan negeri
lain walaupun Ketua Menterinya di kalangan orang Cina. Belum pernah saya
mendengar atau menerima aduan yang orang Melayu didiskriminasi, hak orang Melayu dicabuli atau nasib orang Melayu tidak diambil peduli.
Malah mengikut statistik, orang Melayulah merupakan golongan yang paling
banyak menerima bantuan baik daripada kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun badan-badan lain.
Peluang perniagaan terbuka luas untuk orang Melayu. Cuma orang Melayu itu
sendiri yang tidak mahu menyahut cabaran atau sanggup berhadapan dengan risiko. Yang kebanyakan kita inginkan ialah berkerja tidak
seberapa tetapi mengharapkan keutungan atau pendapatan yang lumayan.
Contoh yang paling mudah ialah konsep Ali Baba yang diamalkan oleh
segenap kontraktor-kontraktor bumiputera dah ahli-ahli perniagaan. Maka tidak hairanlah jika
kita lihat kontrator-kontraktor Melayu lebih ramai masuk keluar pejabat menteri di
Putrajaya dan pejabat-pejabat menteri besar berbanding tapak pembinaan. Persoalannya, sampai bilakah kita
ingin terus begini?
Di Pulau Pinang terutamanya kawasan Tanjong, terdapat ramai golongan India Muslim yang berjaya dalam perniagaan mereka sehingg ada di
kalangan mereka yang bergelar jutawan. Terdapat banyak juga bangunan-bangunan
persendirian milik kaum India Muslim di sekitar kawasan Tanjong, malah persatuan-persatuan dan pertubuhan mereka juga aktif
menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan sepanjang tahun. Sebagai
contoh, baru-baru ini diadakan perarakan sempena Sambutan Maulidur
Rasul yang membabitkan penglibatan lebih daripada 6000 orang. Kenapa
masyarakat India Muslim atau Mamak ini mampu berjaya?
Kalau kita ingin jadikan faktor Ketua Menteri sebagai kayu ukur, saya rasa ia sama
sekali tidak boleh diterima. Daripada Ketua Menteri hinggalah barisan exco,
tidak ada seorang pun di kalangan India Muslim namun golongan ini masih mampu
bertahan malah semakin hari semakin maju dalam pelbagai bidang. Orang Melayu masih lagi merungut tentang kekurangan rumah kos rendah,
tiada ruang untuk berniaga, tidak mendapat bantuan daripada kerajaan dan
macam-macam lagi. Jarang kita mendengar rungutan daripada kaum lain bekenaan isu ini.
Kerajaan dan agensi-agensi yang lain mungkin boleh membantu tetapi soalannya sampai bilakah
orang Melayu ingin terus menjadi bangsa bertongkat yang mengharap dan
bergantung kepada orang lain? Sampai bilakah kita ingin terus menjadi bangsa yang
bergantung kepada bantuan, subsidi, kuota dan menagih simpati untuk hidup?
Sampai bila kita ingin terus meminta bantuan kerajaan negeri dan mengharapkan rumah kos
sederhana dan rendah untuk dihuni? Sekiranya bangsa lain mampu memiliki rumah dengan harga yang sedikit tinggi, mengapa orang Melayu tidak
mampu sedangkan harga yang ditawarkan adalah sama? Malah untuk orang Melayu,
kerajaan bermurah hati memberikan diskaun sebanyak lima peratus.
Kini kita berada di alaf baru, abad ke-21. Dalam menongkah alaf baru ini, bangsa
Melayu perlu mengubah paradigma dan cara kerja kita. Kita tidak boleh terus hidup
seperti dahulu yang bersifat cukup sekadar yang ada dan meminta-minta sekiranya
tiada. Kita sering berbicara soal menjadi bangsa yang bermaruah. Perkara yang
sama turut ditekankan oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ucapan
pergulungan dalam perhimpunan Agung UMNO yang lalu yang mahukan Melayu hidup biar
bermartabat. Sebagai sebuah bangsa yang bermaruah, orang Melayu sepatutnya membuktikan bahawa kita sebenarnya golongan pemberi dan
bukannya golongan penerima sejajar dengan hadith nabi yang bermaksud:
Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima Dalam menjadi bangsa yang bermaruah, kita perlu keluar daripada
kepompong lama yang bersifat pasif. Kini kita perlu bersifat proaktif
dan progresif dalam menongkah arus yang semakin hari semakin mencabar.
Kini sudah tiba masanya untuk orang Melayu buktikan bahawa bangsa Melayu
adalah bangsa yang bermaruah. Mantan Perdana Menteri pernah berkata,
tanyalah kepada kerajaan apa yang boleh kita sumbangkan dan bukannya bertanya apa yang kerajaan boleh sumbangkan Jelas sekali, beliau
berharap agar orang Melayu menjadi bangsa yang bertanggungjawab dan mempunyai kemampuan atau kapasiti
untuk membantu kerajaan dan bukan sebaliknya.
Rasanya masih belum terlambat untuk ummat Melayu khususnya di Pulau
Pinang untuk bangkit dan buktikan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa
yang bermaruah dan bukannya bangsa yang hidup bergantung kepada tongkat
semata-mata. Wira bangsa Melayu bukan diukur kepada kepetahan berkata-kata
semata-mata tetapi yang dikatakan wira dan pejuang bangsa adalah mereka yang menguasai ilmu, ekonomi dan mempunyai sahsiah yang tinggi. Akan
tiba masanya Ketua Menteri Pulau Pinang daripada UMNO bila mana Melayu
Pulau Pinang bangkit menjadi bangsa yang bermaruah dan bermartabat. Di waktu itu, kita tidak perlu mendesak tetapi kita akan memperolehinya
dengan cara yang terhormat. Akhir sekali suka untuk kita sama-sama merenung firman Allah dalam surah Ar-Rad ayat 11 yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu
mengubah apa yang ada pada diri mereka. Semoga ayat ini menjadi pembakar
semangat kepada bangsa Melayu khususnya di Pulau Pinang untuk bangkit
dan buktikan kepada semua bahawa bangsa Melayu memang bangsa yang bermaruah dan
bermartabat.
|
|
Interaksi
atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
|