BALIK KE MUKA UTAMA

Email dari pelayar ( bukan pedapat www.umno-reform.com )


KEMELUT GPMS: CETUSAN PENDAPAT DAN PENDEDAHAN BUAT PARA PEMBACA

Kisah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung atau GPMS terus mendapat tempat di media massa sama ada media cetak mahupun elektronik termasuk di internet. Ternyata begitu banyak cerita, komen dan pendapat dikeluarkan oleh pelbagai pihak berkenaan kemelut yang melanda GPMS. Kemuncak kepada kemelut GPMS ialah apabila dua persidangan khas bagi memilih barisan kepemimpinan baru GPMS yang dilangsungkan secara resentak pada 25 Desember 2005 yang lalu yang kesudahannya GPMS kini diterajui oleh dua orang Presiden iaitu Dato Suhaimi Ibrahim dan Reezal Merican Naina Merican.

Memandangkan sudah 10 tahun penulis berada di dalam GPMS sebagai ahli biasa dan pemimpin, penulis berasa bertanggungjawab untuk memberikan sedikit penjelasan dan buah fikiran berkenaan kemelut yang melanda. Penulis bukannya orang kuat Dato Suhaimi Ibrahim jauh sekali menjadi penyokong setia Sdr. Reezal Merican Naina Merican. Penulis sekadar mahu menjelaskan kemelut yang melanda, menyatakan yang hak dan menyangkal segala kebatilan. Terpulanglah kepada para penbaca untuk menilainya. Ini kerana penulis amat sedih apabila terlalu ramai yang memberikan komen-komen negatif, tidak kurang juga yang mencemuh GPMS dan kemperlekehkan kepemimpinan dan ahli-ahli GPMS. Walhal mereka tidak tahu kisah sebenar disebalik kemelut yang melanda.

GPMS adalah sebuah pertubuhan yang telah banyak berjuang dan membela nasib bangsa Melayu melalui pendidikan. Malah GPMS adalah pertubuhan Melayu yang tertua di negara kita. Pertubuhan-pertubuhan yang seangkatan dengan GPMS sudah lama terkubur namun GPMS masih lagi bertahan hingga ke hari ini. Bagaimana GPMS boleh kekal hingga ke hari ini? Jawapannya tidak lain tidak bukan adalah kerana keihklasan, kejujuran dan ketelusan para pejuang terdahulu dan diperkuatkan lagi dengan sifat tanggungjawab dan komitmen jitu yang ditunjukkan oleh para ahlinya.

Kini, elemen-elemen ini sudah tidak ada lagi. GPMS sekadar gah pada nama selain berbangga dengan kejayaan ramai bekas pemimpin GPMS yang menjadi pemimpin negara dan negeri. Maka tidak hairanlah, matlamat sebahagian daripada mereka yang menyertai GPMS dan berebut untuk menjadi pemimpin GPMS adalah untuk political mileage. Tidak ada lagi keikhlasan dalam memperjuang dan membela nasib pelajar-pelajar Melayu. Bagi sesetengah pemimpin, mereka melihat GPMS merupakan platform terbaik dalam memperkembangkan pengaruh politik dan memperluaskan political networking mereka.

Suatu ketika dahulu Dato Suhaimi Ibrahim pernah menjadi ADUN Benta di negeri Pahang. Jelas sekali, beliau menjadi ADUN adalah kerana beliau adalah Presiden GPMS selain Dato Suhaimi dan juga merupakan kuat kepada Dato Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Melihat kepada trend pemimpin GPMS selalunya dipilih menjadi pemimpin peringkat negeri dan negara menyebabkan GPMS kini menjadi tempat buat Golongan Politikus Meraih Sokongan bukan lagi Golongan Pejuang Melayu Sejati seperti yang diharapkan. Apabila unsur politik keterlaluan dibawa masuk ke dalam persatuan atau pertubuhan, ia bakal mengundang kepada perpecahan dan kehancuran. Politik di dalam berpesatuan tidak ubah seperti barah yang akan merebak tanpa mampu dikawal lagi. Kini barah yang kita khuatiri itu semakin merebak di dalam GPMS dan semakin hari semakin sukar untuk kita mengubati. Inilah yang dapat kita lihat menerusi episod kemelut antara kumpulan Reezal Merican dan kumpulan Dato Suhaimi Ibrahim.

Bagi mengatasi kemelut yang melanda dan mengembalikan GPMS kepada asas perjuangan, terdapat juga cadangan daripada orang-orang lama GPMS agar kepemimpinan GPMS dikembalikan kepada mahasiswa. Hujah yang diberikan kalau dahulu mahasiswa boleh memimpin GPMS kenapa sekarang tidak? Kalau difikir secara simplistik memang cadangan dan hujah yang diberikan logik dan boleh diterima pakai. Bagi penulis cadangan GPMS dipimpin oleh mahasiswa adalah cadangan yang sangat baik tetapi bila diperhalusi secara terperinci ianya sudah tidak pratikal untuk diimplimentasi pada masa sekarang.

Dahulu ahli GPMS sekadar ratusan orang. Kini ahli GPMS ratusan ribu orang. Mampukah mahasiswa memimpin keanggotaan seramai itu? Kalau dahulu, GPMS sekadar mempunyai beberapa cawangan sahaja. Kini hampir di setiap kawasan parlimen terdapat cawangan GPMS. ini tidak termasuk cawangan khas yang dianggotai oleh institusi-institusi pengajian tinggi. Ternyata, keupayaan mahasiswa amat terbatas untuk memimpin organisasi sebesar GPMS walaupun seseorang mahasiswa itu mempunyai karisma dan kredibiliti untuk memimpin.

Sebenarnya tercetusnya segala idea dan pandangan ini adalah kerana perebutan jawatan Presiden GPMS di antara Dato Suhaimi Ibrahim dan Reezal Merican Naina Merican. Sebagai ahli GPMS yang pernah berada di bawah kepemimpinan Dato Suhaimi Ibrahim dan mengenali saudara Reezal Merican, penulis melihat perebutan jawatan antara mereka berdua adalah sesuatu yang amat baik. Biarlah ahli-ahli GPMS membuat keputusan siapakah yang mereka mahu sebagai presiden. Dato Suhaimi tidak perlu takut untuk berdepan dengan pemilihan jika beliau mendakwa masih mempunyai pengaruh. Reezal pula tidak perlu berebut-rebut untuk menjadi presiden jika beliau bertanding atas desakan dan sokongan kuat daripada akar umbi.

Bagi penulis, Dato Suhaimi adalah orang yang perlu disalahkan. Ini kerana, beliau sengaja melambatkan Persidangan Agung Tahunan (PAT) dan mengambil tindakan yang tidak professional dengan memecacat Shahrir Rejab (Timbalan Presiden) dan Syed Anuar (Bekas Setiausaha Agung) serta menggantung keahlian Jais Abdul Karim (Ahli Majlis Tertinggi) di saat beliau tertekan dengan desakan pengerusi-pengerusi negeri dan saf kepemimpinan GPMS yang mahu PAT diadakan secepat mungkin. Selain itu, tindakan memecat dan menggantung keahlian ternyata membuktikan Dato Suhaimi tidak berani menghadapi pertempuran secara gentleman.

Alasan demi alasan yang kadangkala tidak masuk akal terus diberikan sebagai helah atau escapism untuk mengadakan PAT akhirnya mencetus satu lagi polemik di kalangan ahli-ahli GPMS. Rentetan polemik yang semakin gagal menemui jalan penyelesaian, akhirnya wujud dua kumpulan bertelagah iaitu kumpulan yang memihak kepada Dato Suhaimi dan kumpulan yang menyokong Reezal Merican.

Disebabkan Dato Suhaimi begitu keberatan untuk mengadakan PAT, Reezal bersama dengan para penyokongnya sepakat untuk mengadakan Persidangan Khas pada 10 Desember yang lalu. Walaupun dari satu sudut ramai yang mempertikaikan langkah Reezal namun Reezal mempunyai hujah dan alasan yang kukuh berdasarkan perlembagaan yang membolehkan beliau dan kumpulannya untuk mengadakan Persidangan Khas tanpa melibatkan Dato Suhaimi. Tersentak dengan tindakan Reezal dan pengikutnya, Dato Suhaimi pula membuat kenyataan ahkbar untuk mengadakan Persidangan Khas pada minggu berikutnya iaitu pada 17 Desember 2005.

Tindakan dua kumpulan ini sekali lagi mendapat perhatian ramai. Ada yang memihak kepada Reezal dan ada juga yang menyokong Dato Suhaimi. Penulis cukup yakin, walaupun isu kemelut GPMS ini mendapat liputan meluas di media massa sehingga Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan menasihati pihak bertelagah namun tidak ramai yang tidak mengetahui senario sebenar. Beberapa hari sebelum kumpulan Reezal mahu mengadakan Persidangan Khas, kedua-dua kumpulan bertemu di kediaman Menteri Besar Selangor iaitu Dato Seri Mohd Khir Toyo atas inisiatif Dato Seri Mohd Khir Toyo. Sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Dato Seri Mohd Khir Toyo menawarkan diri menjadi orang tengah dan membawa kedua-dua kumpulan bertelagah ke meja rundingan. Penulis mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesanggupan Dato Seri Mohd Khir Toyo untuk menjadi pendamai kepada kumpulan Reezal dan Dato Suhaimi.

Setelah berbincang, akhirnya kata putus dicapai di mana hanya satu Persidangan Khas sahaja yang akan diadakan iaitu pada 25 Desember 2005 yang akan dipantau sepenuhnya oleh MBM. MBM berbesar hati menyediakan tempat dan penginapan untuk persidangan iaitu di Hotel Equatorial Bangi, Selangor. Pada dasarnya kedua-dua pihak bersetuju untuk bersidang bersama-sama. Keesokkan hari selepas berunding, Syed Anuar dan Sharir Rejab, dua orang kuat Reezal membuat kenyataan akhbar memohon maaf kepada seluruh ahli GPMS secara terbuka di atas segala tindakan dan kenyataan mereka sebelum-sebelum ini yang mungkin menyebabkan nama GPMS tercalar. Bagi penulis tindakan tersebut adalah suatu tindakan professional dan bertanggungjawab terutama dalam usaha menjernihkan keadaan.

Setelah bersabar dan menanti dengan penuh debaran, sehari sebelum persidangan, lebih daripada 500 orang perwakilan dan permerhati dari seluruh negara berkumpul di Bangi untuk menyertai persidangan. Apa yang berlaku, penginapan yang dijanjikan telah dipenuhi dengan orang-orang Dato Suhaimi. Rupa-rupanya satu perancangan sulit telah diadakan antara Dato Suhaimi dengan Sobri Ahmad, orang kuat Dato Suhaimi merangkap Naib Presiden MBM bagi menempatkan orang-orang Dato Suhaimi di Hotel Equatorial Bangi.

Memandangkan perwakilan yang hadir begitu ramai, atas keperihatinan dan rasa tanggungjawab Reezal mengambil inisiatif menempatkan sebahagian besar perwakilan di Kolej Keris Emas, UKM. Disebabkan ketiadaan tempat, penulis sendiri terpaksa menginap di Hotel Residence, UNITEN menggunakan wang saku sendiri walaupun sepatutnya menginap di Hotel Equatorial seperti yang dijanjikan ketika rundingan bersama Dato Seri Mohd Khir Toyo.

Pada petang 24 Desember setelah para perwakilan dan pemerhati selesai menguruskan penginapan di UKM, sebahagian daripada mereka pergi beramai-ramai ke Hotel Equatorial Bangi bagi menyemak senarai nama perwakilan dan seterusnya mendaftarkan diri sebagai perwakilan. Sesuatu yang mengejutkan apabila senarai nama hampir 400 perwakilan yang kesemuanya ahli-ahli GPMS yang sah dan terbukti aktif di cawangan dan negeri masing-masing tidak ada dalam senarai perwakilan. Nama beberapa orang Pengerusi Negeri dan Ahli Majlis Tertinggi seperti Dzulhijah Sukarno (Naib Presiden), Zambri Md Isa, Jais Abdul Karim, Rusdi Amir, Tuan Hj Zainol dan ramai lagi turut tidak ada dalam senarai dan mereka juga turut dihalang untuk masuk ke dalam dewan persidangan. Akibatnya, berlakulah sedikit kekecohan dan bermulalah episod yang mengaibkan GPMS apabila insiden ini mendapat liputan meluas di media massa.

Sekali lagi, Dato Suhaimi bertanggungjawab menyebabkan kekecohan berlaku walaupun beliau tidak kelihatan ketika kekecohan tersebut berlaku. Bagi penulis insiden ini tidak akan berlaku jika Dato Suhaimi dan orang-orangnya bersikap professional dan sanggup menghadapi tentangan secara telus dan mengikut perlembagaan GPMS dengan membenarkan mereka yang hadir menjadi perwakilan. Beliau tidak sepatutnya memutar belit kenyataan, menukar dan mentafsir perlembagaan mengikut cita rasa beliau bagi memastikan kedudukan beliau sebagai Presiden GPMS terus kekal tanpa boleh digugat. Menafikan hak para perwakilan dan menghalang beberapa orang Ahli Majlis Tertinggi dan para perwakilan memasuki dewan persidangan adalah suatu tindakan bacul yang hanya dilakukan oleh seorang pemimpin yang tidak bermaruah.

Akibat terasa tertipu dan berangl dengan sikap bacul Dato Suhaimi dan pengikutnya telah menyebabkan Reezal Merican dan kumpulannya mengambil keputusan mengadakan persidangan secara berasingan. Penulis sempat meninjau keadaan persidangan di kedua-dua tempat. Tujuan penulis adalah untuk mendapatkan maklumat dan menilai sendiri segala dakwaan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak bertelagah.

Suasana di kem Dato Suhaimi agak suram walaupun majoriti perwakilan dibekalkan dengan kemeja GPMS bagi memperlihatkan keyakinan dan suasana ceria ketika persidangan. Dalam ucapan beliau, isu yang hangat diperkatakan ialah penyelewengan yuran keahlian GPMS oleh salah seorang Ahli Majlis Tertinggi. Ahli Majlis Tertinggi semasa mengadakan program di bawah Seretariat Pendidikan GPMS Kebangsaan. Sekali dengar memang hangat juga apa yang diperkatakan oleh Dato Suhaimi, tetapi penulis tertanya-tanya juga, apakah buktinya? Sudahkah Dato Suhaimi bertemu dengan Ahli Majlis Tertinggi dan mendapatkan penjelasan daripadanya? Jika ada bukti buat laporan atau dedahkan sahaja biar semua orang tahu dan membuat penilaian.

Di kem Reezal pula, pendedahan yang dibuat lebih menarik. Terdapat dua set risalah diedarkan kepada orang ramai. Penulis turut membaca isi kandungan risalah tersebut. Sesuatu yang amat mengejutkan penulis apabila mendapati GPMS di bawah kepemimpinan Dato Suhaimi kini menanggung hutang hampir mencecah RM 500,000. Antaranya hutang dengan KTMB, TNB, Telekom Malaysia, Syarikat Bekalan Air Selangor, PWTC, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat serta beberapa agensi lagi.

Pada mulanya penulis tidak mempercayai risalah tersebut kerana bagi penulis siapa sahaja boleh membuatnya, namun apabila dikepilkan dengan resit-resit dan surat-surat rasmi maka tidak mungkin ia suatu perbuatan menfitnah atau memburukkan Dato Suhaimi. Paling menggemparkan, penyata akaun bank GPMS yang berbaki RM240 dan penyata akaun bank peribadi milik Bendahari Agung iaitu Saudara Azan Ismail berjumlah sekitar RM160,000 turut dikepilkan. Hairan juga kenapa pertubuhan besar seperti GPMS menanggung hutang beratus ribu ringgit dan mempunyai wang simpanan kurang daripada RM1000 sedangkan pada waktu yang sama Bendahari Agung kaya raya.

Penulis berharap pihak yang bertanggungjawab mengedarkan risalah membawa perkara ini ke muka pengadilan dan bukannya membaling batu sembunyi tangan. Baik Dato Suhaimi dengan kisah penyelewengan yuran keahlian oleh salah seorang Ahli Majlis Tertinggi mahupun pihak yang mendedahkan isu hutang GPMS untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa. Ini bagi memastikan pihak yang bersalah dihukum dan pihak yang benar mendapat pembelaan.

Setelah berakhir pemilihan di kedua-dua tempat, seperti dijangkakan Reezal dan Dato Suhaimi berjaya menjadi Presiden GPMS. Pertama kali dalam sejarah GPMS mempunyai dua orang presiden menerusi pemilihan yang dijalankan serentak di dalam dua persidangan yang berbeza. Masing-masing mendakwa pemilihan dan kemenangan mereka mengikut perlembagaan dan menepati syarat-syarat pendaftaran pertubuhan (ROS).

Apapun, bagi penulis cara Reezal Merican dilantik menjadi Presiden GPMS lebih bererti kerana yang menyokong dan melantik beliau bukannya calang-calang orang. Selain mendapat sokongan padu daripada pengerusi-pengerusi negeri dan sebahagian besar Ahli Majlis Tertinggi, antara yang turut bersama Reezal ialah beberapa orang Yang Berhormat termasuk YB Dato Panglima Hj Lajim Ukim, YB Rahman Karim, YB Zakaria Man, YB Dato Abdul Rahman Palil dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis iaitu YB Che Sulaiman. Orang-orang lama yang bersama dengan Reezal termasuklah Tuan Hj. Zainol, Pengerusi GPMS Perak, Yusuf Suhaimi yang juga merupakan bekas Presiden GPMS dan beberapa orang lagi (penulis mohon maaf sekiranya terdapat kesilapan dalam senarai nama YB yang hadir).

Berbanding kem Dato Suhaimi, rata-rata adalah muka-muka asing yang penulis sendiri tidak mengenali. Sempat penulis menemubual seorang pelajar lepasan SPM yang mendakwa dirinya YDP Cawangan Selayang. Bila ditanya mengenai GPMS, dengan selamba YDP tersebut menjawab, entahlah bang Persatuan Melayu kot, Terasa geli hati juga penulis dengan jawapan budak tersebut tetapi itulah antara mereka yang melantik Dato Suhaimi sebagai Presiden GPMS.

Kini persidangan telah pun dilangsungkan. Hajat Dato Suhaimi dan Reezal untuk menjadi Presiden telah tercapai. Melalui kenyataan media yang dibuat oleh kedua-dua pihak, Reezal menekankan beliau pada asalnya tidak mahu jawatan Presiden GPMS apatah lagi untuk bertanding merebut jawatan tersebut. Tetapi atas rasa tanggungjawab dan hasrat untuk mengembalikan GPMS kembali kepada asas perjuangan serta desakan akar umbi membuatkan beliau mengambil risiko untuk bertanding. Reezal juga mengakui, tugas beliau sebagai Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan 1 dan Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO Malaysia sudah membebankan beliau dan tidak memerlukan jawatan Presiden GPMS sebagai political mileage seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Mengkaji kenyataan media Dato Suhaimi pula, beliau menyatakan sekiranya ahli-ahli mendakwa GPMS semakin teruk maka berilah masa dan peluang untuk beliau memperbaiki keadaan. Secara tidak langsung, beliau meluahkan hasrat untuk terus meminpin GPMS atas alasan untuk memperbaiki keadaan. Ternyata Dato Suhaimi masih lagi mahu mempertahankan jawatan tersebut. Janji beliau untuk memperbaiki GPMS boleh diumpamakan seperti tikus membaiki labu.

Bagi penulis kenyataan kedua-dua pemimpin ini sudah cukup untuk kita membuat penilaian akan keikhlasan dan rasa tanggungjawab yang ada pada setiap pemimpin. Secara peribadi penulis melihat, Dato Suhaimi semakin terdesak. Beliau sudah tidak mempunyai pengaruh politik. UMNO semakin sukar menerima beliau apatah lagi apabila beliau kini menunjukkan sokongan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim secara terang-terangan. Satu-satunya platform yang ada untuk orang terus mengenali Dato Suhaimi hanyalah menerusi GPMS. Maka tidak hairanlah beliau akan melakukan apa sahaja untuk terus menjadi Presiden GPMS.

Apapun, tumpuan kini kepada laporan persidangan kedua-dua pihak yang akan dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan keputusan siapa yang bakal memimpin GPMS akan diumumkan oleh ROS. Dalam pada kita menantikan kata putus daripada ROS, penulis amat berharap segala yang didedahkan ini sedikit sebanyak akan membuka minda para pembaca dan seterusnya membuat penilaian berasaskan fakta, ilmu dan kajian bukannya secara membuta-tuli.

Buat ahli-ahli GPMS, kita semua adalah bangsa Melayu, bangsa yang kaya dengan budi bahasa. Kita juga adalah saudara sesama Islam. Justeru itu marilah kita mencari jalan penyelesaian mengikut adab dan ketetapan agama. Apa yang berlaku sebenarnya bukan merugikan Reezal Merican, Dato Suhaimi Ibrahim atau GPMS tetapi bangsa Melayu itu sendiri. Kini nama GPMS sudah tercalar, imej GPMS sebagai sebuah pertubuhan yang disegani turut terjejas gara-gara perebutan kuasa. Melihat bangsa Melayu bergaduh sesama sendiri, bangsa lain bertepuk tangan bersorak keriangan.

Sesiapa juga yang dipilih menjadi Presiden dan pimpinan GPMS pastikan bahawa matlamat utama adalah untuk memperjuangkan dan membela nasib pelajar-pelajar Melayu. GPMS adalah wadah perjuangan pendidikan Melayu. Penubuhan GPMS adalah sangat suci dan murni. Janganlah perebutan kuasa menodai kesucian perjuangan GPMS selama ini. Ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah satu amanah dan kita bakal dipersoalkan kelak di hadapan Allah tentang segala amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita di dunia.

Justeru itu, penulis berharap segala kemelut yang melanda ini mampu ditangani sebaik mungkin berdasarkan semangat mahabbah dan kekeluargaan. Masa sudah tiba untuk kita lakukan perubahan demi mendaulatkan agama Islam dan memartabatkan bangsa Melayu. Marilah kita lakukan muhasabah, merenung dan menginsafi segala pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam GPMS dan sebagai generasi pewaris janganlah kita mengkhianati perjuangan GPMS. Lupakanlah segala sengketa, utamakanlah agenda bangsa, gunakanlah agama sebagai panduan, percayalah pasti bertemu jalan penyelesaian. Bangkitlah wahai bangsaku!


Disediakan oleh:

AZDY BIN MOHD ARSHAD
 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762