BALIK KE MUKA UTAMA

Email dari pelayar ( bukan pedapat www.umno-reform.com )



KEMELUT GPMS: LUAHAN HATI DARI SEORANG AHLI.
Azdy Mohd Arshad
azdy79@hotmail.com


Sudah agak lama saya tidak duduk di hadapan komputer peribadi menaip dan berkongsi idea berkenaan isu-isu semasa yang berlaku di tanah air. Atas kesibukkan sebagai seorang pengajar dan menguruskan perniagaan, masa amat menceburui saya. Namun kemelut yang melanda Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi pandangan atas dasar tanggungjawab dan sayangkan GPMS.

Sejak di bangku sekolah lagi saya merupakan ahli GPMS. Bermula dengan mengikuti kem dan seminar motivasi anjuran GPMS sehinggalah saya sendiri diberikan amanah sebagai Ketua Unit Modul Dan Latihan Sekretariat Pendidikan GPMS Kebangsaan. Sepanjang bersama GPMS terutamanya ketika berada di universiti, ternyata begitu banyak pengalaman yang ditimba. Peluang bermesyuarat, berprogram, berkenalan dan berbaik dengan pimpinan GPMS selain berkenalan dengan beberapa orang-orang lama ketika bersama GMPS telah banyak mengajar dan membantu saya dalam menyerlahkan lagi sifat kepinpinan yang ada.

Yang terbaru, disebabkan trek record yang baik di dalam GPMS bersertakan sedikit ilmu dan pengalaman yang ada telah membolehkan saya terpilih mewakili negara ke Persidangan Agung UNESCO Peringkat Belia Ke-4 di Paris, Peranchis baru-baru ini. Peluang mewakili Malaysia ke UNESCO adalah satu penghormatan ke atas saya dan merupakan satu pengiktirafan kepada GPMS kerana dalam ratusan persatuan belia seluruh negara yang membuat permohonan, wakil daripada GPMS yang telah dipilih.

Dalam persidangan tersebut juga saya telah dicalonkan mewakili Asia dan Kepulauan Pasifik untuk bertanding dalam pemilihan Presiden Belia UNESCO. Walaupun tewas dalam pertandingan tersebut, bagi saya pencalonan tersebut telah membuktikan betapa wakil Malaysia dan yang lebih penting wakil GPMS bukan hanya dihormati di dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa. Sebagai bukti, saya turut dijemput oleh para perwakilan daripada negara-negara Arab untuk turut serta dalam suatu perberbincangan tertutup dan diminta menberikan pendapat berhubung masalah politik dan konflik yang melanda negara-negara Arab dan negara Islam.

Tujuan saya menceritakan segala ini bukannya untuk beriak-riak atau membangga diri tetapi sebagai bukti bahawa suara GPMS telah sampai ke suatu tahap yang patut dibanggakan oleh semua ahli GPMS. Malah perlantikkan Datuk Seri Hishamudin sebagai Timbalan Presiden UNESCO yang juga merupakan salah seorang penasihat GPMS telah menguatkan lagi hujah bahawa GPMS bukanlah calang-calang organisasi dan pemimpin yang lahir daripada GMPS bukanlah calang-calang pemimpin.

Sebenarnya perjuangan di dalam GPMS bukanlah sesuatu yang sia-sia. GPMS adalah wadah terbaik untuk kita perjuangkan idealisma dan menggarap bakat kepimpinan yang ada dalam usaha memastikan pendidikan anak bangsa Melayu terus terbela dan dibela. Banyak menafaat dan kelebihannya jika kita menetapkan niat berjuang di dalam GPMS demi agama, bangsa dan negara. Benarlah sabda Nabi Muhammad S.A.W bahawa ?Setiap perbuatan itu memula dengan niat?. Sekiranya niat kita ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mengejar pangkat, jawatan, glamour atau wang nescaya Allah akan membuka pintu kejayaan untuk kita. Hal ini jelas diterangkan oleh Allah dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud: ?Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah nescaya Allah akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu?.

Dalam tempoh 57 tahun berjuang, tidak dinafikan timbul beberapa masalah dalaman dan konflik di kalangan para pemimpin. Percanggahan pendapat dan pertentangan idea merupakan suatu perkara biasa. Malah Imam Al-Ghazali mengibaratkan perbezaan pendapat seumpama tubuhnya bunga yang warna berbeza di dalam sebuah taman. Di mana bunga yang berbeza warna ini akan mencantikkan lagi taman tersebut. Begitulah juga dengan perbezaan pendapat yang mana ia sebenarnya bakal mencorakkan lagi kepimpinan GPMS asalkan pendapat-pendapat yang diutarakan adalah ikhlas dan bertujuan untuk kebaikan.

Kehancuran dan kemusnahan akan berlaku bila mana perbezaan pendapat gagal di atasi secara matang dan professional. Di dalam Islam, tedapat garis panduan apabila berhadapan dengan percanggahan pendapat yang disebut sebagai ?adabul ikhtilaf?. Dalam apa jua konflik, kita sepatutnya berbincang bersama-sama dan mencari jalan terbaik bagi mendapatkan kata putus atau penyelesaian dan jadikanlah Al-Quran dan Hadith sebagai rujukan agar keputusan yang dibuat berlandaskan Islam. Malah di dalam surah Ali-Imran ayat 103 Allah berfiman:

Dan berpegang teguh pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati-hati kamu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara?.

Sejak kebelakangan ini, media-media massa acapkali melaporkan satu demi satu konflik yang melanda GPMS. Segalanya berlaku hanyalah kerana pemilihan barisan kepimpinan baru GPMS yang sepatutnya diadakan pada tahun ini. Hanya kerana ingin merebut jawatan, segala usaha memantapkan dan memertabatkan GPMS yang dilakukan oleh pejuang-pejuang terdahulu yang disambung dan diwarisi sehingga ke hari ini seolah-oleh dilupakan. Keghairaan merebut jawatan oleh sesetengah pemimpin di dalam GPMS sebenarnya telah mengaibkan dan menjatuhkan reputasi dan nama baik GPMS. Selama 57 tahun GPMS mengharungi onak dan duri, menongkah arus melawan badai sehingga dihormati dan disanjung, keghairahan merebut jawatan bakal memusnahkan segala-galanya.

Melihat kepada realiti semasa dan desakan akar umbi, rasanya telah tiba masa untuk Datuk Suhaimi Ibrahim mengundur diri dan memberikan peluang kepada barisan kepimpinan muda untuk mengambil alih tampuk pemerintahan GPMS sekaligus menamatkan segala konflik yang melanda GPMS. Saya yakin dan percaya Datuk Suhaimi cukup matang dan mampu berfikir dengan rasional. Justeru itu, langkah mengundurkan diri bukan hanya akan menamatkan konflik yang melanda malah beliau juga akan lebih dihormati dengan mengambil keputusan tersebut.

Peluang dan ruang selama 8 tahun yang diberikan kepada beliau sebagai Presiden GPMS sudah cukup buat Datuk Suhaimi membuktikan ketokohan beliau memimpin GPMS. Datuk Suhaimi perlu menerima hakikat bahawa tiada yang kekal di bumi ini begitu juga dengan jawatan yang disandang. Tindakan beliau memecacat Shahril Rejab (Timbalan Presiden) dan Syed Anuar (Bekas Setiausaha Agung) serta menggantung keahlian Jais Abdul Karim (Ahli Majlis Tertinggi) bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Malah tindakan ini bakal mengundang konflik yang lebih besar. Shahril dan Syed Anuar merupakan antara orang kuat Datuk Suhaimi suatu ketika dahulu dan sangat berpengalaman luas dalam GPMS manakala Jais diibaratkan ?Ironman? di kalangan ahli-ahli GPMS. Tindakan Datuk Suhaimi yang mahu menyelamatkan dirinya sebenarnya mengundang kepada kehancuran dan pepecahan di dalam GPMS.

Apa pun, kemelut yang melanda GPMS sudah sampai ke kemuncak dan semakin sukar untuk dibendung. Kini kedua-dua pihak baik pihak Datuk Suhaimi mahupun penentang beliau semakin lantang mengkritik dan mendedahkan kelamahan masing-masing. Satu demi satu keburukkan daripada kedua-dua pihak didedahkan. Politik memburukkan indiviu dan mendedahkan aib lawan secara tidak langsung membuka pekung di dada. Datuk Suhaimi cuba ?melondeh? Shahril, Syed Anuar dan Jais, pada masa yang sama Datuk Suhaimi pula sedang ?dibogelkan? oleh penentang beliau. Walau bagaimanapun yang akan menerima malu bukan sahaja mereka tetapi seluruh warga GPMS.

Senario ini sebenarnya mencetuskan suatu suasana politik kurang sihat. Di dalam sebuah organisasi yang menjangkau usia lebih 57 tahun dan dinaungi oleh Perdana Menteri, para pemimpin GPMS sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik terutamanya kepada 400,000 ahli yang majoritinya adalah pelajar. Sepatutnya isu pemilihan dan kemelut dalaman tidak perlu dihebah kepada umum. Jika kita ikhlas dalam perjuangan, tidak kira sama ada berjawatan ataupun tidak, kita akan terus komited dengan perjuangan kita. Mengapa perebutan jawatan yang dijadikan agenda perjuangan utama sehingga menyebabkan GPMS berada dalam keadaan retak menanti belah?

Berdasarkan kepada kenyataan akhbar baru-baru ini, jelas sekali Datuk Suhaimi sudah menerima hakikat bahawa beliau bakal ditentang Reezal Merican, Naib Presiden GPMS sekarang yang merupakan tokoh politik muda yang semakin menempa nama di persada politik negara. Datuk Suhaimi sepatutnya menerima penentangan tersebut dengan tenang dan terima seadanya apa jua yang bakal berlaku. Biarlah akar umbi menentukan segala-galanya. Jika beliau masih berpengaruh seperti yang didakwa beliau mengapa beliau perlu khuatir. Bak kata pepatah kalau sudah rezeki tidak ke mana.

Dalam kekalutan menyelubungi Datuk Suhaimi, Shahril, Syed Anuar dan Jais, Reezal Merican kelihatan lebih tenang menghadapi polemik yang sedang melanda GPMS. Tiada kenyataan-kenyataan sensasi dibuat melainkan mengakui bahawa beliau akan mencabar Datuk Suhaimi untuk merebut jawatan Presiden GPMS atas desakan akar umbi dan berharap agar pemilihan berjalan dalam suasana kekeluargaan. Reezal ternyata lebih matang dalam mengluarkan kenyataan. Kenyataan beliau juga memperlihatkan beliau bertanding bukan kerana ghairah kepada jawatan tetapi atas dasar tanggungjawab mangkabulkan permintaan akar umbi yang berhedakkan beliau memimpin GPMS.

Jika benar Reezal bertanding kerana menurut aspirasi akar umbi maka tidak salah untuk kita berikan beliau peluang memimpin GPMS. Selain itu, segala polemik dan kemelut yang melanda GPMS perlu dihentikan bagi memulihkan kembali keyakinan masyarakat terhadap GPMS. Ini juga bertujuan menjernihkan semula keadaan dan membersih semula nama GPMS yang agak tercemar. Semua ahli perlu bersatu-padu, berganding bahu dan bersedia untuk sama-sama membantu Reezal dan barisan Ahli Majlis Tertinggi yang lain sekiranya beliau terpilih menjadi Presiden GPMS menggantikan Datuk Suhaimi. Bagi Datuk Suhaimi, berkompromi tidak bermakna kita kalah dalam perjuangan. Sesungguhnya perjuangan memerlukan pengorbanan dan di saat ini saya mewakili seluruh ahli GPMS memohon agar Datuk Suhaimi melakukan pengorbanan demi kemaslahatan dan kejayaan GPMS di masa akan datang.

Sesiapa juga yang dipilih menjadi Presiden dan pimpinan GPMS pastikan bahawa matlamat utama adalah untuk memperjuangkan dan membela nasib pelajar-pelajar Melayu. GPMS adalah wadah perjuangan pendidikan Melayu. Penubuhan GPMS adalah sangat suci dan murni. Janganlah perebutan kuasa menodai segala perjuangan yang telah diperjuangkan. Ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah satu amanah dan kita bakal dipersoalkan kelak di hadapan Allah tentang segala amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita di dunia.

Masa sudah tiba untuk kita lakukan perubahan demi mendaulatkan agama Islam dan memertabatkan bangsa Melayu. Justeru itu, saya menyeru kepada semua pihak agar sama-samalah kita merengung dan menginsafi segala pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam GPMS dan sebagai generasi pewaris janganlah kita mengkhianati perjuang GPMS. Bangkitlah wahai bangsaku!

AZDY BIN MOHD ARSHAD
No k/p: 790908-07-5539

Penulis merupakan bekas pemimpin GPMS Cawangan Khas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia merangkap Ketua Unit Modul Dan Latihan Sekretariat Pendidikan GPMS Kebangsaan. Penulis juga merupaka bekas Presiden Gabungan Mahasiswa Dinamik Pulau Pinang (GEMADA)


Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762