BALIK KE MUKA UTAMA

 

TREND PENULISAN KRITIS SEMASA

ANALISIS ISU-ISU UTAMA BANGSA DAN NEGARA
Prof. Dr. Awang Sariyan
Presiden Persatuan Linguistik Malaysia

 

PENDAHULUAN

Judul trend penulisan semasa yang diamanahkan kepada saya oleh penganjur Seminar Penulisan Kritis cukup luas cakupannya. Daripada sudut bentuknya sahaja, penulisan secara kasar terbahagi kepada dua, iaitu penulisan kreatif dan penulisan bukan kreatif, sehingga penggarapan kedua-dua bentuk itu tidak mungkin berupaya saya lakukan dalam kertas kerja ini. Kedua-dua bentuk penulisan itu pula luas juga bidang cakupannya, daripada hal ehwal politik kepada soal ekonomi, kebudayaan, bahasa, sains dan teknologi dan berbagai-bagai lagi. Maka untuk batas bicara, saya pilih beberapa isu semasa sahaja yang berkaitan dengan kepentingan bangsa dan negara kita.

PERANAN PENULIS

Penulis, tidak seperti yang dibayangkan oleh sesetengah kalangan, bukan selebreti sebagaimana artis atau bintang sukan. Ketokohan dan kewibawaan penulis tidak harus diukur berdasarkan populariti peribadinya. Jika ia menjadi tokoh ternama, yang menjadikannya demikian itu sepatutnya disebabkan pemikirannya yang tertampil dalam tulisannya, bukan kerana faktor-faktor luaran diri penulis.

Tugas menulis pada asasnya berkaitan dengan kewajiban manusia mengembangkan ilmu untuk menunaikan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi (al-Baqarah, 30) dan untuk menyerukan kebaikan serta mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) (ali-Imran, 110). Oleh itu, menulis sebenarnya bukan kegiatan untuk berseronok-seronok atau sekadar untuk mengisi waktu senggang, apatah lagi untuk menjadi glamor ataun untuk mendapat laba peribadi sebagaimana yang diperoleh oleh penulis upahan. Saya kurang setuju dengan sikap sesetengah orang yang mengaitkan penulisan dengan hobi kerana hobi ialah kegiatan kegemaran pada waktu lapang. Penulis yang bertanggungjawab tidak perlu menunggu adanya waktu lapang untuk menyampaikan ilmu, pemikiran, maklumat, seruan dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan kesejahteraan manusia, bahkan sebaliknya perlu merancang waktu untuk menulis demi kebaikan dan kesejahteraan umat. Dengan perkataan lain, penulisan harus dijadikan tanggungjawab hidup.

Demikian juga, tidak seharusnya ada tembok pemisah antara orang yang dikatakan berbakat menulis dengan yang tidak berbakat menulis. Perlu dihakis kepercayaan bahawa hanya orang tertentu sahaja yang dikurniai bakat menulis sehingga sekian banyak orang yang berilmu membekukan ilmunya dalam dirinya sendiri sedang agama menuntut setiap orang menyampaikan ilmu, biar dengan satu ayat sekalipun.

Sesungguhnya Allah mengurniai setiap orang yang normal bakat menyampaikan sesuatu mesej, baik secara lisan mahupun tulisan, kerana dua unsur penting diberikan Allah hanya kepada manusia sebagai  makhluk terisistimewa, iaitu akal dan bahasa. Allah memberikan modal yang sama kepada semua manusia yang normal dan menjadi tanggungjawab setiap orang memanfaatkan kurniaan itu. Oleh sebab itulah Imam al-Ghazali meletakkan penguasaan bahasa sebagai ilmu asas dalam rangka maratib ilmu. Dalam konteks penulisan, menjadi kewajaran bagi setiap orang mempelajari dan menguasai teknik menulis sebagai cabang ilmu bahasa untuk mengembangkan ilmu dan menyerukan kebaikan serta mencegah kemungkaran. 

Asas perlunya penulisan dijadikan tanggungjawab oleh setiap orang yang berilmu dapat dirumuskan seperti yang berikut:

  1. Untuk memenuhi tuntutan fardhu ain – perlu ada usaha penulisan semua ilmu yang wajib diketahui dalam konteks orang Islam, khususnya ilmu-ilmu yang dikategorikan sebagai ilmu wahyu (the revealed knowledge), seperti akidah, fikah, munakahat, muamalat, jinayat, ilmu al-Qur’an (tajwid dan tafsir), hadith, adab, sirah, tasawuf dan ilmu bantu seperti linguistik, retorik (balaghah) dan beberapa yang lain lagi.

  2. Untuk memenuhi fardhu kifayah – dituntut penyebarluasan dan pengembangan ilmu-ilmu dalam bidang yang tidak wajib kepada semua individu tetapi wajib kepada masyarakat sehingga perlu ada sekurang-kurangnya seorang anggota masyarakat yang berketrampilan dalam urusan kehidupan  bermasyarakat, seperti dalam bidang ekonomi, politik, media, pendidikan, sosial, sains, perubatan, astronomi, geologi, geografi dan sebagainya.

Bagi kedua-dua keperluan di atas, perlu direncanakan penulisan, penerbitan dan pengedaran bahan ilmu dan maklumat yang cukup kepada seluruh anggota lapisan masyarakat supaya tidak berlaku kejahilan, kejumudan dan juga kezaliman. Masyarakat tanpa ilmu ialah masyarakat yang mudah terjebak kepada segala kebobrokan, baik dalam bentuk kemiskinan, kemunduran, salah guna kuasa, rasuah, hasad dengki, perseteruan, penindasan dan kemaksiatan.

Perkara yang sering saya tekankan ialah bahawa ilmu dan maklumat tidak harus dimonopoli oleh mana-mana lapisan masyarakat, dengan pengertian bahawa perlu ada perencanaan untuk menghasilkan tulisan dan terbitan yang dapat memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat, iaitu masyarakat umum, remaja dan kanak-kanak. Ilmu tidak seharusnya berlegar di sekitar para sarjana dan golongan cerdik pandai atau kelas menengah sahaja. Perlu ada rasa prihatin kepada kelompok-kelompok lain yang juga berhak mendapat ilmu dan maklumat. Para ilmuwan tidak seharusnya menjadi seperti keledai yang memikul sehimpunan kitab.

Oleh itu, usaha penulisan dan penerbitan bahan ilmu dan maklumat untuk masyarakat umum, remaja dan kanak-kanak harus dijadikan agenda utama oleh badan-badan penerbit dan institusi ilmu serta orang yang berilmu. Kita tidak boleh selamanya membidas dan mempersalahkan masyarakat, terutama remaja dan kanak-kanak yang tidak mempunyai budaya membaca dalam keadaan kita tidak mempersiapkan bahan-bahan bacaan yang dapat memberi mereka ilmu dan makluamt yang berguna. Ambil sahaja contoh bahan-bahan bacaan agama untuk remaja dan kanak-kanak. Berapa banyakkah judul buku agama untuk kedua-dua golongan itu, dalam bentuk persembahan yang sesuai dengan perkembangan psikologi dan diri mereka? Apakah alternatif yang diusahakan untuk mengalihkan tumpuan perhatian remaja dan kanak-kanak kepada permainan video dan komputer atau kepada bacaan ringan yang berbentuk hiburan murahan?

Demikian pula, sebanyak manakah ilmu dalam ratusan bidang, baik bidang sains tabii mahupun sains kemanusiaan yang telah diadaptasi, dipermudah dan ditulis serta diterbitkan dalam gaya persembahan yang sesuai dengan remaja dan kanak-kanak? Ada sejumlah bahan sedemikian yang diusahakan penerbitannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan beberapa buah penerbit lain, tetapi jumlahnya ternyata jauh daripada cukup untuk memenuhi keperluan membentuk minda dan pemikiran generasi muda. Bagaimanakah dapat dibentuk peribadi-peribadi unggul (towering personalities) dalam masyarakat kita dalam keadaan prasarana ilmu dan maklumat baru tampak maju pada alat canggih seperti komputer yang kerap bertukar model? Bagaimanakah perisian ilmu dan maklumatnya?

Dalam hal prasarana, sejauh manakah perpustakaan, baik perpustakaan awam mahupun perpustakaan institusi (sekolah, pusat pengajian tinggi, masjid dsb.) berjaya menggamit anggota masyarakat memanfaatkan koleksi ilmu dan maklumat yang terhimpun? Lengkapkah perpustakaan kita dengan bahan-bahan ilmu dan maklumat yang terkini dan diperlukan oleh masyarakat? Di sisi itu, adakah perencanaan perpustakaan mengadakan pelbagai kegiatan yang dapat menjadikan perpustakaan atau pusat sumber itu ‘lebih hidup’ seperti forum, diskusi buku dan sebagainya dari waktu ke waktu?

TREND PENULISAN SEMASA – ANALISIS SITUASI

Saya sengaja memulakan perbincangan tentang isu trend penulisan semasa dengan mengajak khalayak memikirkan tanggungjawab untuk mengisi khazanah ilmu dan maklumat bagi keperluan masyarakat kita seluruhnya. Kesediaan kita untuk memikirkan hal itu berkaitan rapat dengan trend penulisan semasa yang ada dalam media. Tanpa kesediaan memikirkan dan melibatkan diri dalam isu-isu yang menyentuh kelangsungan hidup masyarakat, tidak mungkin dapat diharapkan munculnya tulisan yang kritis untuk menggugah pemikiran masyarakat. Tanpa timbul kesedaran dan tanpa iltizam untuk menyumbangkan ilmu dan maklumat kepada masyarakat, bagaimanakah dapat diharapkan terhasilnya tulisan yang kritis?

Demikianlah, kian tampak lesu penghasilan tulisan yang membayangkan pemikiran dan sikap yang kritis dalam kalangan masyarakat kita sedang isu yang kita hadapi kan banyak dan kian kritikal pula. Sekadar untuk menjadi titik tolak perbincangan, saya pilih beberapa isu yang secara langsung berkaitan dengan kelangsungan hidup masyarakat dan negara yang sewajarnya mendapat reaksi kritis daripada masyarakat sendiri, terutama golongan cerdik pandai.

 

1.            Isu Kontrak Sosial

Belum ada kajian yang dibuat tentang adakah masyarakat kini, khususnya generasi muda memahami isu yang berkaitan dengan kontrak sosial atau yang lebih asas lagi fahamkah masyarakat akan kandungan  kontrak sosial itu. Apabila baru-baru ini, pada sekitar dua minggu pertama bulan Ogos 2005 Presiden Parti Gerak, Lim Keng Yaik membangkitkan isu kontrak sosial yang dianggapnya sudah tidak sesuai dengan zaman lagi, kurang kita dengar atau kita baca reaksi atau polemik tentang isu itu. Ada reaksi beberapa orang tokoh dalam bentuk laporan di media tetapi gemanya tidak sampai menggugah pemikiran dan sanubari masyarakat terbanyak, seolah-olah isu itu memang tidak relevan dan tidak ada kepentingannya lagi. Barangkali sebahagian besar masyarakat tidak mengerti pun apakah “kontrak sosial” itu.

Kontrak sosial yang saya maksudkan itu merupakan unsur penting dalam sejarah pembentukan bangsa dan negara ini. Sebelum kedatangan penjajah Inggeris, Tanah Melayu diidentifikasikan dengan penduduk asalnya yang teras, iaitu bangsa Melayu. Hakikat ini menjadi fakta sejarah yang tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapa pun kerana bukan hanya merupakan dakwaan orang Melayu semata-mata, tetapi dirakamkan oleh para sarjana dan penulis dari luar, termasuk dari  Barat juga. Apabila penjajah membawa orang Cina dan India secara beramai-ramai untuk menjadi tenaga kerja bagi manipulasi ekonomi penjajah itu sendiri, maka situasi demografi negara ini secara langsung berubah.

Atas desakan penjajah Inggeris, orang Melayu perlu menerima syarat kemerdekaan yang akan diberikan hanya jika kaum-kaum yang asalnya pendatang itu diterima sebagai warganegara. Sebagai imbangan kepada pemberian taraf kewarganegaraan itu, maka para pemimpin kaum-kaum lain itu setuju menerima peruntukan yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu. Perkara yang menjadi asas persetujuan itu ialah kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera. Itulah yang dinamai kontrak sosial dalam konteks pembentukan negara ini sesudah lepas daripada belenggu penjajahan. Semua perkara itu dirakamkan dalam manifesto pilihanraya pertama pada tahun 1955 dan kemudian apabila negara merdeka pada tahun 1957, perkara-perkara itu dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tanpa kontrak sosial itu, tidak terbentuk bangsa dan negara yang acuannya kita warisi hingga kini. Oleh itu, apabila ada pihak yang mempertikaikan kontrak sosial yang cukup penting itu, dan mengatakannya sudah tidak relevan dan hanya menimbulkan rasa sakit hati dalam kalangan kaum-kaum yang diterima menjadi warganegara, maka penyataan pendapat seumpama itu sebenarnya tertakluk kepada Akta Hasutan dan tindakan yang setimpal perlu dikenakan ke atas orang berkenaan. Teryata bahawa orang Melayu masih tetap terus menjadi bangsa yang cukup bertolak ansur dan tinggi tahap kesabarannya; tiada gesaan dan tiada pula fikiran untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sedang dalam kes-kes lain ada kalanya cukup segera tindakan dikenakan.


Lihat sahaja isu Universiti Merdeka pada tahun 1980-an. Mahkamah menolak penubuhan universiti tersebut kerana bertentangan dengan dasar negara dan Akta Pendidikan yang tidak membolehkan universiti menggunakan bahasa Mandarin sebagai  bahasa penghantar. Tetapi Kolej Tunku Abdul Rahman dibenarkan beroperasi, malah dengan bantuan kewangan kerajaan dan kini telah wujud Universiti Tunku Abdul Rahman yang tidak jauh berbeda daripada konsep Universiti Merdeka yang ditolak penubuhannya dahulu.


 

Adakah kita, khususnya para pemimpin dan cerdik pandai di negara ini sudah tidak peka lagi atau memang setuju bahawa isu kontrak sosial itu sudah tidak relevan lagi dalam konteks sekarang ini? Yang nyata, tidak ketara suara kritis daripada pimpinan Melayu, sama ada untuk mempertahankannya atau sekurang-kurangnya untuk menyampaikan maklumat tentang hakikat sebenar kontrak sosial bagi rakyat negara ini, sedang Prof. Khoo Kay Kim sebagai ahli sejarah percaya bahawa sehingga tahun 2020 sekalipun kontrak sosial tidak mungkin dapat dilupakan begitu sahaja (Berita Minggu, 21 Ogos 2005, hlm. 19).

Kumpulan Prihatin yang dianggotai oleh sekumpulan veteran pejuang kebangsaan dan ketua beberapa persatuan bahasa dan persuratan, melalui beberapa kongres, seminar dan pernyataan media, telah berkali-kali menimbulkan gagasan pentingnya kontrak sosial itu dijelaskan dengan meluas melalui sistem pendidikan dan melalui pelbagai wacana di peringkat kepemimpinan tertinggi negara dan juga di pelbagai peringkat kepemimpinan yang lain. Kerana memahami bahawa kontrak sosial itu jugalah yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan, agama Islam dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera, maka Kumpulan Prihatin dalam pelbagai memorandum dan tulisan terus-menerus menggesa agar kontrak sosial itu senantiasa dijadikan premis dalam apa-apa juga dasar yang digubal agar tidak sampai merugikan bangsa teras itu sendiri.

Kini kita tahu bagaimana secara beransur-ansur “tongkat” telah tidak dibekalkan lagi kepada orang Melayu dan Bumiputera. Mereka perlu bermain di padang yang tidak sama rata. Mereka mungkin mendapat peluang belajar di institusi pengajian tinggi tetapi mereka harus menyelesaikan masalah ketiadaan biaya kerana biasiswa hampir tiada lagi dan pinjaman daripada tabung pengajian tinggi pun telah dihadkan kepada kursus-kursus yang diistilahkan sebagai kursus kritikal sahaja. Jika kelulusan untuk melayakkan masuk ke universiti mencapai tahap yang sewajarnya, mereka perlu bersedia tidak diterima kerana segala-galanya sudah didasarkan pada meritokrasi. Hak istimewa tinggal pada dokumen undang-undang dan suratan sejarah.

Pada zaman saya ikut serta menulis buku sejarah dan tatarakyat untuk sekolah menengah pada tahun 1970-an dahulu, fakta tentang kontrak sosial itu diberi penegasan dalam sukatan pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan, barangkali kerana pada waktu masih kental semangat perjuangan bangsa dalam kalangan pemimpin dan birokrat yang menduduki jawatan-jawatan penting di jabatan kerajaan. Kini saya tidak pasti adakah hal itu masih ada dalam sukatan pelajaran sejarah dan tatarakyat yang sudah diperkenalkan semula di sekolah.

Kadang kala kita menjadi keliru pula dengan kebangkitan semangat yang meluap-luap dalam kalangan pemimipin untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera, yang dalam waktu yang sama bercakap tentang bangsa Melayu perlu bersaing dengan bukan Bumiputera berdasar merit. Dalam Perhimpunan Agung UMNO Julai 2005, isu untuk menghidupkan semula Dasar Ekonomi Baru bergema dengan cukup hebat dan kita segera dapat memaafkan kealpaan pimpinan dalam memberikan perhatian kepada hak orang Melayu yang dirasakan sering dikompromikan. Lihat sahaja isu Universiti Merdeka pada tahun 1980-an. Mahkamah menolak penubuhan universiti tersebut kerana bertentangan dengan dasar negara dan Akta Pendidikan yang tidak membolehkan universiti menggunakan bahasa Mandarin sebagai  bahasa penghantar. Tetapi Kolej Tunku Abdul Rahman dibenarkan beroperasi, malah dengan bantuan kewangan kerajaan dan kini telah wujud Universiti Tunku Abdul Rahman yang tidak jauh berbeda daripada konsep Universiti Merdeka yang ditolak penubuhannya dahulu.

Insitutusi pendidikan awam yang menampung sebahagian besar orang Melayu dan Bumiputera seperti Institut Teknologi Mara dinaikkan taraf menjadi Universiti Teknologi Mara tetapi orang Melayu kehilangan ITM. Insitut Perguruan Sultan Idris dinaikkan taraf menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris dan IPSI tidak pula dikekalkan. Jadi, orang Melayu tampaknya tetap dalam situasi zaman Pak Kaduk, iaitu “Menang sorak, kampung tergadai”. Pendidikan yang berteraskan kecinaan kian meluas; kini ada juga Kolej Selatan dan beberapa buah kolej lain. Sementara korporat dan parti bukan Melayu memperkukuh pendidikan bangsa mereka, korporat Melayu sebahagian besarnya kurang memperlihatkan tanggungjawab sosial untuk memperbanyak institusi pendidikan yang bagi kepentingan Melayu. Malah usul agar parti utama Melayu menubuhkan universiti ditolak pula oleh kepemimpinan kerana mungkin univeristi-universiti awam dianggap universiti milik parti utama bangsa Melayu walhal semua universiti itu membuka pintu yang amat luas kepada semua bangsa juga.

Tentang kegagalan DEB dalam memenuhi matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menysusun semula masyarakat Malaysia, saya kira ulasan Prof. Diraja Ungku Aziz (Mingguan Malaysia, 14 Ogos 2005) mewakili pandangan kritis yang membina dan harus diberi perhatian oleh sesiapa jua yang berhasrat menjuarai isu tersebut. Ungku Aziz tidak melihat kegagalan DEB akan dapat diatasi hanya dengan kesibukan pemimpin hendak meningkatkan ekuiti Melayu dalam modal perniagaan dan perusahaan. Peningkatan ekuiti Melayu dalam modal tidak akan menyelesaikan masalah Melayu kerana masalah teras Melayu terletak pada kemiskinan dan ketinggalan orang Melayu secara menyeluruh yang majoritinya berada di luar bandar. Oleh itu, dasar ekonomi apa pun perlu difokuskan lebih kepada peningkatan sosioekonomi majoriti Melayu yang kebetulan berada di luar bandar. Strategi mewujudkan sejumlah kecil usahawan dan peniaga Melayu yang kaya dan berjaya dengan bantuan terpilih, sama ada melalui pemberian AP atau saham atau dengan kaedah apa pun sudah sampai waktunya dirobah dan digantikan dengan strategi yang tertumpu pada masyarakat terbanyak. Langkah pimpinan baru di bawah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan pertanian sebagai teras pembangunan negara mudah-mudahan menjadi isyarat ke arah perubahan strategi yang mementingkan rakyat terbanyak itu.

Kini kita menunggu dan menyaksikan sejauh manakah gema semangat yang meluap-luap untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di negara ini berterusan momentumnya. Adakah juara-juara yang sanggup mati bergalang tanah demi Melayu sebagai bangsa teras itu akan mengisi janji-janji yang telah dibuat atau adakah luapan semangat itu turut berlalu ditiup angin waktu? Orang Melayu perlu menyatakan sikap kritis terhadap hal ini. Kita tidak mahu terjadi seperti yang dikatakan oleh Noor Azam bahawa isu ekonomi Melayu apabila disuarakan lebih sebagai isu politik (mungkin sebagagi suatu bentuk pelaburan politik menjelang pemilihan parti pada tahun 2007?) akhirnya mengundang  tentangan pemimpin kaum-kaum lain (Berita Minggu, 21 Ogos 2005, hlm.24). Isu ekonomi tidak ditangani benar-benar secara ekonomi oleh kepepimpinan Melayu dalam tempoh 20 tahun DEB berlangsung dan kini kegagalannya cuba diatasi secara politik.

Isu Bahasa dalam Sistem Pendidikan

2.           Pada tahun 1993, Perdana Menteri waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad membuat pengisytiharan bahawa semua kuliah sains dan tekonologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris. Keputusannya itu bertentangan dengan pendiriannya pada awal tahun 1970-an ketika menjadi Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan yang dengan tegas menyatakan bahawa bahasa Melayu mestilah dijadikan bahasa penghantar utama untuk semua kursus di universiti. Pada waktu itu, kumpulan-kumpulan cendekiawan yang faham dan masih kental semangat kebangsaannya mengadakan pertemuan demi pertemuan dan gerakan menasihati kerajaan agar tidak melaksanakan keputusan Perdana Menteri. Sebahagian besar memorandum, resolusi dan pernyataan serta makalah yang membantah keputusan telah diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 1996 dalam buku yang berjudul Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, dengan Allahyarham Asraf sebagai editornya. Kebetulan ketika itu masih ada tenaga unggul dalam kepemimpinan negara yang menjadi penaung kepada gerakan kebangsaan  sehingga akhirnya keputusan itu senyap begitu sahaja.

Tidak sampai 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003. Inilah rasanya kali pertama dalam sejarah negara ini satu dasar baru yang merombak dasar selama puluhan tahun dilaksanakan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu satu tahun. Orang yang tidak lupa kepada sejarah dasar dan sistem pendidikan  di negara ini tentu masih ingat bahawa dasar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan yang digagaskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 hingga diterapkan dalam Akta Pelajaran 1961, baru dilaksanakan dengan pesat pada tahun 1970 apabila Abdul Rahman Ya`kub (Tun Datuk Patinggi) menjadi Menteri Pelajaran. Ertinya untuk melaksanakan dasar yang menjadi acuan pembentukan generasi baru yang bersatu padu dan memperoleh ilmu serta sistem nilai melalui satu bahasa kebangsaan hanya dapat dimulakan berbelas-belas tahun kemudian.

Kemudian apabila kerajaan mendapati perlunya sistem pendidikan yang menekanakan pembinaan manusiawi, maka Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran ketika itu membuat kajian dan menerbitkan kajian itu pada tahun 1979. Sebagai hasil rumusan dan syor jawatankuasa tersebut, dirancang pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Ternyata bahawa pelaksanaan dasar dan sistem baru itu mengambil waktu lapan tahun kerana hanya dilaksanakan pada tahun 1988 sesudah melalui kajian demi kajian dan penyempurnaan prasarana.

Setelah terlaksana Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama selama kira-kira 30 tahun, dengan kejayaan melahirkan tidak kurang 5.4 juta lepasan di peringkat SPM yang sebahagiannya kemudian melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dan menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dilakukan perubahan yang cukup drastik. Tiada kajian yang dijalankan dan tiada perundingan yang dilakukan dengan pakar-pakar pendidikan. Bahkan tiada sama sekali dilakukan cuba uji melalui projek rintis di sejumlah sekolah seperti yang lazimnya dilakukan dalam pelaksanaan mana-mana sistem yang baharu.

Seminar, forum, dialog, memorandum dan pernyataan media yang mengemukakan bantahan atau sekurang-kurangnya permintaan agar ditangguhkan pelaksanaan dasar baharu itu hampir-hampir tidak diendahkan. Resolusi Kongres Pendidikan Melayu Kedua pada 26 – 27 Mac 2005 yang mendesak ditangguhkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dipandang sepi, malah beberapa hari sesudah tamat kongres itu, Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri mengumumkan bahawa dasar itu diteruskan, walaupun dalam ucapan penutupan kongres beliau berjanji bahawa kerajaan akan membuat kajian yang mendalam untuk menimbangkan keputusan meneruskan atau menangguhkan dasar baharu itu. Sejarah baharu telah berlaku di negara ini sekali lagi apabila “kajian mendalam” selesai dalam tempoh tiga hari! Yang bangkit bersuara orang-orang yang sama, yang telah dianggap fanatik, ekstrem, jumud dan pernah didakwa pengkhianat, kerana kononnya menghalang anak bangsa menjadi pandai dan menghalang anak bangsa menguasai bahasa asing. Apabila Persatuan Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan Siri Bicara Bahasa (siri1 - 20) sebagai wadah membahaskan isu tersebut, ada arahan lisan yang “mengharamkan”  terbitan itu daripada diedarkan.

Beberapa kajian ilmiah peringkat  sarjana dan kajian institusi serta individu tertentu menunjukkan bahawa pelaksanan dasar baharu itu membawa bencana dan padah yang bukan kecil. Implikasi negatif yang cukup segera dirasakan daripada pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, terutama oleh anak-anak di luar bandar yang majoritinya  orang Melayu ialah gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik disebabkan oleh faktor penggunaan bahasa asing. Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu. Bilangan pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sehingga tahun 2004 ialah 1.88 juta orang. Jika sekalipun 50% daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar dianggap menguasai bahasa Inggeris, namun terdapat hampir 1 juta (0.94 juta), terutama pelajar di luar bandar yang menghadapi masalah pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hakikat yang penting ialah bahawa golongan pelajar yang paling banyak menjadi mangsa daripada pelaksanaan dasar tersebut terdiri daripada anak-anak bangsa Melayu.

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Nor Hashimah Jalaluddin (2004) menunjukkan ketidaksediaan pelajar belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggerus. Kenyataan tersebut tergambar pada dapatan kajian bahawa 75% pelajar tidak setuju sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris, 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan sains dan matematik dengan berkesan, 71% meminati sains dan matematik kerana diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang dalam sains dan matematik jika diajarkan dalam bahasa Melayu. Kajian DBP-UKM pada tahun 2004 tentang persepsi pelajar menunjukkan bahawa amat rendah tahap kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kesediaan mereka belajar sains dan matemtik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris hanya 5.9% (untuk sains) dan 5% (untuk matematik).

Yang lebih malang lagi, kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM (2004) menunjukkan penurunan prestasi yang cukup mencemaskan dalam kalangan pelajar yang terlibat dalam mata pelajaran sains, matematik, bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Melayu. Dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 2 pada tahun pengajian 2004 (pelajar yang mula belajar sains dan matematik di tingkatan 1 pada tahun 2003 dalam bahasa Inggeris), peratus pelajar yang mendapat gred cemerlang (gred A) bagi mata pelajaran sains hanya 11.9% dan bagi mata pelajaran matematik hanya 16.9%. Hampir separuh daripada sampel yang dikaji (45.49%) mendapat gred gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris pula, hanya 10.4% yang mencapai gred A. Malang sekali apabila yang mencapai gred A dalam mata pelajaran bahasa Melayu hanya 18.7% dan 16.7% malahan gagal (mendapat gred E). Kejatuhan prestasi dalam mata pelajaran bahasa Melayu itu barangkali disebabkan kekeliruan yang terjadi pada guru dan juga pelajar dalam tempoh peralihan yang mengejut pelaksanaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik.

Pihak yang sangat penting dalam pelaksanaan dasar tersebut, iaitu guru sendiri menghadapi masalah yangbesar amat besar. Daripada sejumlah 181,340 orang guru di sekolah rendah pada tahun 2004, dianggarkan kira-kira 80,000 orang terlibat dalam pengajaran sains dan matematik dan semuanya terlatih dalam bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1970. Dengan pelaksanaan dasar tersebut secara mendadak, dapat dipastikan berlakunya masalah pengajaran yang dihadapi oleh guru-guru. Kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM pada tahun 2004 di 242 buah sekolah menengah di seluruh negara menunjukkan bahawa guru tidak mempunyai kesediaan untuk mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hanya 54.7% guru sains dan 62.2% guru matematik yang mampu menerangkan konsep sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kajian Norhashimah Jalaluddin yang dijalankan pada tahun 2004 dengan jelas menunjukkan bahawa 81% guru mahu sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu, 72% mengatakan bahawa pencapaian pelajar dalam sains da matematik akan lebih cemerlang jika diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 79% berpendapat bahawa pelajar lebih dapat menumpukan perhatian jika kedua-dua mata pelajaran itu diajarkan dalam bahasa Melayu.

Jelas bahawa proses pengajaran dan pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak dapat mencapai hasrat untuk meningkatkan pelajar kita dalam bidang-bidang tersebut, malah sebaliknya menurunkan penguasaan mereka dalam bidang-bidang berkenaan. Dalam jangka lima tahun pelaksanaan dasar baharu ini, dijangka ratusan ribu pelajar akan gagal atau tidak cemerlang pencapaiannya dalam sains dan matematik dan fenomena ini melibatkan majoriti pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada anak-anak Melayu. Implikasi ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang memang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang menjatuhkan bangsa Melayu sendiri.

Daripada segi sosial dan politik, kesan-kesan buruk daripada pelaksanaan dasar baharu ini akan menggoncang kestabilan sosial dan politik negara, disebabkan akan wujud ketidakseimbangan pencapaian akademik yang akhirnya melebarkan jurang antara kaum dan kelas masyarakat. Usaha kerajaan untuk menyeimbangkan pencapaian anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan, dan seterusnya dalam bidang profesional akan terjejas dengan teruknya dan keyakinan orang Melayu kepada pemimpin dan parti teras pemerintah negara, iaitu UMNO akan merosot atau hilang. Kehilangan keyakinan itu akan melemahkan kekuatan politik Melayu yang diharapkan dapat menjamin keutuhan bangsa apabila, misalnya pengundi Melayu sendiri mengalihkan sokongan mereka kepada parti lain sebagai tanda protes. Sekali lagi pemimpin kita cukup bertolak ansur apabila sekolah kebangsaan diwajibka mematuhi arahan dasar baru tetapi pada waktu yang sama sekolah jenis kebangsaan diberi izin meneruskan penggunaan bahasa ibunda (di samping bahasa Inggeris) untuk mengajarkan sains dan matematik. Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang memang ditubuhkan untuk memajukan bahasa kebangsaan telah dilarang menerbitkan buku teks pilihan dalam bahasa Melayu bagi sains dan matematik untuk kepentingan anak-anak Melayu di luar bandar. Mulia sungguh hati budi pemimpin Melayu!

Kini peribahasa “lulus jarum luluslah kelindan” sudah mula berlaku di Institut Pengajian Tinggi Awam apabila semua universiti kerajaan telah mula melaksanakan dasar ke arah pengajaran subjek-subjek sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, sebagai suatu kesinambungan yang logis daripada dasar yang dilaksanakan di peringkat sekolah. Universiti seakan-akan tiada pilihan lain kerana pelanggan yang diterima merupakan mereka yang telah dilatih dalam bahasa Inggeris. Akhirnya, sebagaimana yang dirumuskan oleh Kumpulan Prihatian (2005), kita akan menyaksikan kesan-kesan yang berikut daripada penarikan semula dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama:

 

1.    AKIBAT KEPADA BAHASA MELAYU

Proses menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti. Sebaliknya bahasa Melayu akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja. Istilah yang telah dicipta yang telah mencecah hampir satu juta untuk ratusan bidang ilmu, termasuk ilmu terkini seperti aeroangkasa, tidak akan digunakan dan istilah baru tidak akan dicipta lagi. Buku dalam bidang sains, perubatan, ekonomi, perniagaan dan teknologi tidak akan diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada lagi pembacanya. Kedudukan bahasa Melayu dalam semua bidang, terutama dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara bertuah Malaysia ini akan jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan Mandarin.

Amatlah mencemaskan bahawa pada satu waktu kelak bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar bagi kira-kira 20% sahaja, iaitu bagi mata pelajaran yang bukan tergolong dalam sains dan teknologi. Selalu dihujahkan bahawa perubahan ini hanya bagi dua mata pelajaran sahaja. Hakikatnya jauh berbeda.Yang berikut ini ialah unjuran yang dapat dirumuskan daripada perancangan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran:

Sekolah Rendah:

BM 60%; BI 40%

·      Sekolah Menengah:

·      Tingkatan 3: BM 62%; BI 38%

Tingkatan 4 & 5 Sastera: BM 56%; BI 44%

Tingkatan 4 & 5 Sains: BM 36%; BI 64%

Tingkatan 4 & 5 Biologi: BM 33%; BI 67%

Tingkatan 4 & 5 Reka Cipta: 32%; BI 68%

Tingkatan 4 Akaun: BM 47%; BI 53%

SPM: BM 29%; BI 71%

Tingkatan 6 Sastera: BM 60%; BI 40%

Tingkatan 6 Sains dan Matrikulasi: BM 20%; BI 80%

Peringkat Universiti:

·      BM: Kursus Sastera dan Pengajian Islam; BI: Semua kursus lain

Malah ada kursus sastera di universiti tertentu yang wajib     dikuliahkan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris)

2.    AKIBAT KEPADA PELAJAR-PELAJAR MELAYU

Kesannya kepada pelajar, terutama pelajar Melayu daripada sudut penguasaan ilmu sains dan matematik buruk sekali. Kajian menunjukkan pelajar yang masih belum mempunyai kemahiran kecekapan bahasa yang asas akan menghadapi masalah untuk membaca buku teks, berdailog, berdebat dan memberikan gerak balas bertulis dalam ujian dan peperiksaan. Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu kini. Masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menuding jari kepada pelajar dan guru bahawa mereka mahu mencari jalan mudah. Belum terbukti di mana-mana pun alat teknologi mampu menggantikan guru di bilik darjah. Yang perlu diingat, wajarkah kita memperjudikan nasib masa depan anak bangsa kita dengan menggunakan kaedah yang tidak, atau sekurang-kurangnya belum terbukti berhasil di mana-mana di muka bumi ini? Seorang bernama Steven Lee telah membangkitkan hal ini dalam Berita Harian 19 April 2005 bertajuk, “Pendekatan Pembelajaran Bukan Boleh ‘Dicuba-cuba’”. 

AKIBAT KEPADA MEDIA MASSA BERBAHASA MELAYU

Pada tahun  60-an   dulu   tulisan   Jawi   dikeluarkan   daripada   bilik    darjah.        Akibatnya,  hari  ini  ramai orang Melayu yang buta Jawi. Akhbar Utusan      Melayu  dulu  menjadi  lidah  dan  alat  perjuangan  bangsa  Melayu. Kini Utusan  Melayu  dalam  keadaan nazak, tidak lagi mampu menjadi wadah      pemikiran  dan penyatuan umat Melayu. Inilah yang akan berlaku kepada   media  berbahasa  Melayu  20  tahun dari sekarang. Akhbar Melayu tidak akan lagi memuatkan ruangan teknologi, kesihatan, ekonomi, perniagaan, komputer  dan  lain-lain  kerana  tidak  akan  ada  pembacanya.  Pembaca akhbar  nanti  tidak lagi menguasai istilah dalam bidang-bidang ini dalam bahasa   Melayu.  Dapatkah   akhbar   hidup   tanpa    ruangan    ekonomi,  perniagaan, kesihatan, sains, teknologi dan sebagainya? Lihat saja Utusan Melayu.  Itulah  gambaran  masa  depan  akhbar  arus  perdana  berbahasa      Melayu. Pada  hari ini pun, di negara Malaysia yang kita cintai ini, edaran      akhbar  terbesar  berbahasa Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa  Mandarin  dan  Inggeris.  Bayangkan  10 tahun  dari  sekarang akibat  penukaran  bahasa  penghantar  80% mata  pelajaran  di  sekolah ke dalam bahasa Inggeris.  

AKIBAT POLITIK KEPADA ORANG MELAYU DAN UMNO

Kemerosotan kedudukan bahasa Melayu, kelemahan pelajar Melayu menguasai ilmu-ilmu sains, teknologi dan matematik serta  kemerosotan akhbar Melayu akan membawa padah politik yang cukup menggerunkan bagi UMNO dan umat Melayu. Bagaimanakah UMNO mahu mempengaruhi orang Melayu kalau akhbar arus perdana Melayu nanti sudah seperti Utusan Melayu hari ini – amat tipis, terbit hanya seminggu sekali, kecil jumlah edarannya dan tidak lagi berupaya menggembleng pemikiran orang Melayu?  Dengan serangan globalisasi dan masuknya pelbagai aliran fahaman Islam dari luar, pandangan dan pegangan hidup umat Melayu pastinya akan bertambah rencam dan berserpihan. Dan pada waktu itu alat yang ampuh untuk mempersatukan pemikiran mereka, iaitu bahasa, sudah tidak bertenaga lagi untuk berbuat demikian.  

Kos budaya, pendidikan dan politik bagi penyelewengan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan ini terlalu menggerunkan untuk diabaikan. Apa yang dikatakan sebagai perubahan bahasa penghantar dua mata pelajaran sahaja sebenarnya akan membawa durjana kepada bangsa Melayu. Inilah akibatnya apabila kita melompat sebelum berfikir panjang.

3. Isu-isu Agama dan Budaya

 Kemajuan yang kita capai dalam bidang ekonomi dan pembangunan fizikal tampaknya seakan-akan perlu dibayar dengan segala macam kepincangan dan kebobrokan sosial. Agama Islam yang pada abad ke-13 telah membawa transformasi kepada akidah, pemikiran dan amalan budaya sehingga terbentuk tamadun besar selama berabad-abad seakan-akan tidak dijadikan asas oleh sejumlah yang signifikan dalam masyarakat pada waktu ini untuk membentuk masyarakat madani atau hadhari. Sekularisasi sudah begitu menebal hingga ”kehidupan kini dan di sini” seringkali melupakan sejumlah orang kepada ”kehidupan abadi” di alam yang satu lagi.  Terlalu banyak tantangan yang perlu dihadapi dan diselesaikan dalam isu agama dan budaya, tetapi cukuplah saya senaraikan secara ringkas seperti yang berikut:

     i.   Amalan rasuah dalam kegiatan ekonomi, sosial dan bahkan politik (sehingga timbul eufemisme atau istilah yang dilunakkan sebagai politik wang yang sebenarnya tidak lain daripada rasuah). Kepemimpinan baru parti utama orang Melayu tampaknya menghadapi kesukaran yang bukan kepalang untuk mengubah fenomena yang sudah membarah itu sehingga usaha memerangi rasuah seakan-akan menjolok sarang tebuan;

Perselisihan faham tentang agama dalam konteks kepartian sehingga perpaduan umat Melayu Islam dilanda perpecahan yang tidak kunjung selesai sedangkan Islam telah meletakkan panduan bahawa apa-apa juga perselisihan tentang agama yang berbangkit hendaklah dirujukkan kepada al-Qur’an dan sunnah;

   iii.     Kesepaduan antara yang dikatakan pendidikan akademik dengan pendidikan agama terus-menerus menjadi isu kerana ditangani secara politik lebih daripada secara profesional, seperti tindakan menutup dan menarik balik bantuan kepada sekolah agama rakyat yang secara langsung menyentuh masa depan umat Melayu. Pada waktu yang sama, falsafah pendidikan negara yang sejak tahun 1988 menekankan kesepaduan antara agama dengan ilmu-ilmu lain kian tidak ketara lagi pelaksanaannya di sekolah. Misalnya, gagasan nilai-nilai murni merentas kurikulum, ilmu merentas kurikulum, kemahiran berfikir merentas kurikulum dan sebagainya tidak kelihatan menjadi agenda pendidikan lagi sehingga satu-satunya amalan merentas yang tinggal hanyalah ”merentas desa” sahaja. Dalam pada itu, institusi ilmu yang telah diiktiraf dan diakui oleh dunia Islam dan telah berjasa melimpahkan cahaya ilmu agama untuk mengangkat tamadun umat entah atas pertimbangan apa telah ditutup dan diturunkan martabatkan hingga menjadi sebuah fakulti sahaja di sebuah universiti Islam yang ditubuhkan untuk menegakkan panji-panji Islam;

     iv.   Hedonisme atau hiburan yang melampau telah mula mengakar sebagai cara hidup masyarakat apabila terbuka atau sengaja dibuka ruang yang cukup luas untuk berlangsung pesta, karnival dan yang seumpamanya yang sudah melampaui konsep hiburan sekadar untuk memenuhi fitrah manusia. Sambutan dan perayaan seakan-akan tidak sah tanpa acara hiburan yang berlebihan, termasuk ketika menyambut kemerdekaan negara. Pelbagai program realiti diwujudkan di stesen-stesen televisyen dan kesemuanya ke arah pembentukan unsur budaya baharu yang tidak membina pemikiran dan ketinggian akhlak masyarakat selain memupuk unsur budaya melayan perasaan, kehibaan, ketaksuban dan pembaziran wang (seperti puluhan juta ringgit yang dikeluarkan selama tiga tahun berlangsungnya program Akademi Fantasia oleh berjuta-juta orang penonton yang majoritinya Melayu untuk mengundi penyanyi pujaan, dan lebih malang lagi hal ini berlaku pada saat orang Melayu Islam sendiri lemah ekonominya.

     v.    Program televisyen keseluruhannya tidak lagi membayangkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan tiga prinsip, iaitu kebudayaan asal rantau ini (Melayu), unsur-unsur asing yang wajar dan sesuai, dan Islam. Hampir-hampir tiada bedanya siaran stesen televisyen di negara ini dengan yang ada di negara asing kerana masing-masing stesen berlumba-lumba untuk menjadi global. Keadaan ini diizinkan atas pertimbangan komersial dan ekonomi sehingga kementerian yang bertanggungjawab mengawal bidang penyiaran seakan-akan tidak dapat berbuat apa-apa lagi selain membuat seruan demi seruan. Kesediaan masyarakat menjadi permisif digambarkan oleh tingkah laku seorang tua berkopiah yang mempromosikan salah satu stesen televisyen dengan ungkapan ”Macam-macam ada!”

     vi.   Fitnah, komplot, konspirasi dan perbuatan terkutuk yang seumpama itu kian meluas dalam pelbagai institusi sosial sehingga keharmonian dan kesejahteraan hidup kian berkurangan. Sebahagian besarnya berlaku kerana anggota masyarakat (malangnya lapisan yang memikul amanah kepemimpinan juga tidak terlepas daripada perbutan itu) kian jauh daripada pegangan dan amalan agama. Amat mengejutkan bahawa satu konspirasi politik besar-besaran telah didedahkan oleh seorang hakim mahkamah tinggi (Berita Harian, 19 Ogos, hlm. 10) yang melibatkan jatuhnya seorang pemimpin negara. Fahaman politik yang dipegang berdasar pada politik Barat yang berteraskan ”usaha mendapat kuasa dan mengekalkan kuasa itu” dan oleh itu sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk mendapat dan mengekalkan kuasa. Saya segera teringat akan analogi seorang tokoh korporat Melayu yang prihatin yang menamai budaya jatuh-menjatuhkan dalam kalangan mereka yang gila kuasa dengan budaya sate - sebelum dapat dimakan, daging perlu dicencang-cencang, diperam, dicucuk dan dibakar. Kuasa tidak dinilai sebagai amanah tetapi sebagai hak dan wibawa lalu mudahlah terjadi salah guna kuasa dan amalan nepotisme, kronisme, favoritisme dan yang seumpamanya. Hiruk-pikuk tentang isu AP yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa hanya satu daripada sekian banyak manifestasi kecurangan kuasa yang berlaku.

     vii.  Penyelewengan agama dalam dua bentuk yang ekstrem terus-menerus berlaku dan pada saat tertentu memuncak. Pada satu sisi, agak meluas ajaran sesat dan khurafat seperti yang tergambar pada fenomena Ayah Pin dengan ”kerajaan langitnya” yang seakan-akan tidak tertangani oleh pihak berkuasa dengan berbagai-bagai alasan pentadbiran. Mencemaskan juga halnya apabila muncul Rasul Melayu di Hulu Kelang yang dapat mempengaruhi pegawai tinggi kerajaan dan ahli akademik. Pada sisi yang lain muncul ekstrem dalam bentuk fahaman Islam liberal yang begitu bertoleransi terhadap apa-apa jua pandangan keagamaan yang jelas menyalahi nas.  Tajdid dengan pengertian pembaharuan dalam pengurusan dan cara melaksanakan kehidupan beragama telah diselewengkan atas nama  kebebasan bersuara dan hak asasi individu. Telah ada perkumpulan atas nama Islam yang mengajukan memorandum kepada pihak berkuasa agar taraf agama seseorang tidak dicatat dalam kad pengenalan sehingga umurnya mencapai 18 tahun untuk membolehkan ia membuat keputusan menganut agama pilihannya. Telah ada keberanian orang yang berpendidikan tinggi dalam agama mengeluarkan hukum bahawa darurat membolehkan seseorang menjadi pelacur.

HALANGAN BERKEMBANGNYA SIKAP KRITIS

Amatlah malang bahawa dalam zaman kita mengecap kemajuan yang hebat, dan dengan ilmu serta pemikiran yang tinggi, berlaku sekatan terhadap penyataan fikiran dan pandangan yang kritis. Tidak dinafikan bahawa masih tetap ada ruang untuk menyatakan pandangan dan fikiran, tetapi bagi sesiapa yang terlibat dalam gerakan yang dianggap bertentangan dengan arus perdana, dapat dirasakan adanya halangan dan sekatan tertentu. Antaranya termasuklah:

     i.  Media yang dikawal atau mengawal dirinya sendiri daripada menyiarkan pandangan yang dianggap bertentangan dengan arus perdana. Pemimpin-pemimpin persatuan bukan kerajaan yang kritis mempunyai pengalaman yang banyak dalam hal ini apabila kenyataan media atau ulasan (kadang-kadang yang diminta oleh media tertentu sendiri) tidak disiarkan. Sekali sekala yang disiarkan ialah bahagian yang tidak mencerminkan pandangan keseluruhan orang yang diwawancara, iaitu sama ada bahagian yang selari dengan pandangan arus perdana atau pandangan yang dianggap tidak sensitif. Kata seorang teman saya, freedom of the press memang wujud di negara ini tetapi hubaya-hubaya kerana di samping itu ada freedom to press juga.

     ii.     Sesetengah akta digunakan atau setidak-tidaknya dibayangkan boleh digunakan untuk menghalang orang yang kritis daripada bersuara. Orang yang kritis selalu dibayangi oleh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Amat sukar untuk dipastikan apakah yang boleh dan tidak boleh disuarakan kerana kedua-dua akta itu senantiasa menanti waktu untuk digunakan. Orang yang menyatakan fakta yang benar, lengkap dengan dokumen boleh ditahan dan dihukum atas dakwaan mendedahkan rahsia rasmi kerajaan walaupun tujuannya untuk kebaikan negara.

     iii.    Bagi penjawat awam, telah diperkenalkan suatu bentuk waad yang diberi nama Aku Janji, seolah-olah Peraturan Am (General Order) yang selama ini menetapkan tatatertib dan apa-apa yang boleh serta apa-apa yang tidak boleh dibuat oleh penjawat awam masih tidak cukup. Meskipun niat mengadakan aku janji itu mungkin baik, iaitu untuk menjaga disiplin penjawat awam, namun kesan yang negatif ialah tiadanya atau kurangnya penjawat awam yang bersikap kritis dan profesional dalam membanteras kesilapan yang berlaku di jabatan kerajaan. Tertanya-tanya juga saya apakah pentingnya kemahiran berfikir kreatif dan kritis di tekankan di sekolah apabila kemahiran itu tidak boleh diterapkan dalam alam pekerjaan.        

     iv.    Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menyekat kegiatan yang dianggap bertentangan dengan kerajaan dengan sendirinya menjadikan kampus layu dan tidak lebih daripada sekolah. Dahulu ada kegiatan seperti Debat Agung Ekonomi, ada sudut pidato dan mahasiswa serta kakitangan akademik lebih bebas bersuara dan melaksanakan kegiatan meskipun sebahagiannya kelihatan tidak selari dengan pandangan arus perdana. Kini bukan sahaja kegiatan yang lebih kritis hampir tidak ada lagi, bahkan universiti pun sudah kian kehilangan autonomi apabila semakin banyak keputusan dibuat langsung oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi.

     v.    Yang tidak kurang menyedihkan ialah sikap yang dikatakan orang Indonesia sebagai ”masa bodoh” dalam kalangan masyarakat umum, termasuk cerdik pandai, iaitu sikap tidak ambil peduli akan isu yang berlaku di keliling selama mereka cukup makan pakai dan dapat menikmati kehidupan yang selesa. Sikap inilah yang akhirnya akan membekukan fikiran masyarakat dan kemungkaran berlangsung terus tanpa dipedulikan oleh massa. Yang berani dan rajin mengambil tahu pun akhirnya berkurangan kerana   itulah jalan selamat yang tidak mendatangkan risiko apa-apa. Sesetengah yang pada satu waktu dahulu menjadi pejuang pun ada yang berubah haluan kerana telah mendapat kesenangan hidup. Oleh itu, sebarang kegiatan untuk menghimpunkan orang yang sanggup berkorban masa sedikit untuk membincangkan isu masyarakat, bangsa dan negara, belum lagi menggunakan tenaga ke tengah padang, menjadi amat sukar sekarang. Cita-cita untuk memungut tandatangan satu juta orang yang tidak setuju dengan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, umpamanya, berakhir dengan kejayaan mendapatkan hanya kira-kira 500 tandatangan sahaja untuk disampaikan kepada kepemimpinan negara. Daripada lebih 10 buah  persatuan bukan kerajaan yang dapat dihimpunkan untuk mengeluarkan pernyataan bersama bagi meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar baharu itu, akhirnya tinggal lima buah persatuan yang berbaki dan sanggup menjadi penganjur Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Keenam, dan kongres itu pula mendapat penghinaan besar apabila sebuah universiti yang telah mengundang persatuan-persatuan penganjur itu melangsungkan kongres di kampusnya pada saat akhir menutup kampusnya dan memindahkan kongres ke sebuah dewan orang ramai. Keadaan ini amat berbeda daripada keadaan pada awal-awal tercapainya kemerdekaan hingga sekitar tahun 1970-an. Pada tahun 1960-an ada kesanggupan para pejuang bahasa kebangsaan memikul Keranda 152 ke Parlimen dan mereka pulang dengan selamat; tetapi kini usahkan memikul keranda, mengukir batu nisan bahasa kebangsaan sahaja pun tidak ada yang berani dan andaikata ada yang berani memikul keranda bahasa pula, belum tentu mereka akan pulang dengan selamat kerana mungkin akan berubah destinasi ke tempat lain.

PENUTUP

Sebenarnya hanya sebilangan isu sahaja yang dapat saya paparkan dalam kertas kerja ini yang berkaitan secara langsung dengan kelangsungan hidup dan masa hadapan masyarakat dan negara kita. Benar bahawa penyelesaiannya tidak semudah memaparkannya. Tiada jalan singkat dan tiada lampu ajaib untuk kita selesaikan semua masalah itu. Namun, menyedari masalah-masalah itu sendiri harus dilihat sebagai langkah awal ke arah penyelesaiannya. Malang sekali halnya andaikata masalah-masalah itu tidak memberikan bekas di hati anggota masyarakat disebabkan sikap permisif dalam kalangan masyarakat kita ternyata  kian ketara. Sifat dan sikap nafsu nafsi menyebabkan masyarakat kurang perihatin terhadap fenomena-fenomena negatif yang berlaku di hadapan mata. Selama isu dan masalah itu tidak menjejaskan kepentingan sandang pangan atau kehidupan mereka, tidak banyak anggota masyarakat yang mahu mengambil tahu akan isu yang berkaitan dengan bangsa dan negara, apatah lagi terlibat memerangi masalah sosial yang wujud.

Dalam konteks itulah diperlukan gerakan mendedahkan segala kebejatan masyarakat melalui pelbagai saluran yang mungkin. Penulisan merupakan salah satu saluran yang berkesan kerana sifatnya yang lebih kekal dan dapat disebarkan dengan lebih luas. Dengan kemajuan teknologi, hasil tulisan bukan hanya dapat diterbitkan dalam bentuk bercetak tetapi dapat dimuatkan dalam internet dan dapat juga diterbitkan dalam bentuk elektronik dengan berbantukan multimedia. Para cerdik pandai tiada pilihan lain lagi. Semua perlu turun padang untuk menyumbangkan fikiran ke arah pembanterasan penyakit sosial yang kian parah. Setidak-tidaknya kita melaksanakan tahap iman yang kedua dalam keadaan kita tidak berkuasa menggunakan ”tangan”, iaitu dengan menggunakan ”lidah” (dalam konteks tulisan kita menggunakan pena). Tidak cukup kiranya kita mengamalkan iman pada tahap yang paling rendah, iaitu sekadar tidak redha di hati menyaksikan kebejatan yang berlaku di hadapan mata kita. Saya yakin bahawa atas semangat itulah penganjur mengadakan seminar penulisan kritis ini. Kita sebenarnya tidak menentang barang satu pun dasar negara, malah yang diperjuangkan itu ialah untuk mengukuhkan pelaksanaan dasar-dasar negara yang telah digubal untuk kesejahteraan rakyat. Bukankah Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan yang lain-lain itu merupakan dasar negara yang sah? Itulah yang kita perjuangkan.

RUJUKAN

Abdul Rahim Bakar dan Awang Sariyan (Ed.). 2005. Suara Pejuang Bahasa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Asraf (Ed.). 1996. Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Awang Sariyan. 2000.  Warna dan Suasana dalam Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. 2002. Ceritera Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka. 2005. “Laporan Kajian Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dalam Konteks Kepelbagaian Pelajar”.

Persatuan Linguistik Malaysia. 2002. Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Kumpulan Prihatin. 2005. Implikasi Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Penghantar Matematik dan Sains. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Noor Azam. 2005. “Ke Mana Hala Tuju Melayu Sekarang?” Berita Minggu, 14 Ogos 2005, hlm. 18.

 Noor Azam. 2005. “Muafakat Membawa Berkat”. Berita Minggu, 21 Ogos 2005, hlm. 24.

Siri Bicara Bahasa (Bil. 1 - 20). 2002 - 2004. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka

Wawancara dengan Prof. Diraja Ungku Aziz. 2005. “Cabaran Mengisi Semangat DEB, Melihat Dunia Baru dengan Cara Baru Menukar Persepsi Orang Melayu” Mingguan Malaysia, 14 Ogos 2005, hlm. 9.

Wawancara dengan Profesor Emeritus Khoo Kay Kim. 2005. “Berfikir sebagai Bangsa Malaysia”. Berita Minggu, 21 Ogos 2005, hlm. 19.

 


Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762