BALIK KE MUKA UTAMA



Untuk edaran wakil media sempena Demonstrasi Rakyat Membantah Kenaikan Harga Minyak di KLCC, Kuala Lumpur

Kenyataan Akhbar
3 Mac 2006

Angkatan Muda isytihar Abdullah Badawi Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah. Beliau mesti segera letak jawatan

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (Angkatan Muda) pada hari ini mengisytiharkan Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah perdana menteri negara ini. Tahun 2006 ini sahaja, beliau telah gagal sekurang-kurangnya di dalam tiga perkara iaitu:

Mengekalkan kabinet rasuah setelah menunggu ilham yang terlalu lama;
 

Tidak konsisten di dalam tindakan beliau terhadap media yang melakukan penghinaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan kegagalan yang terbaru iaitu
Menaikkan harga minyak di dalam keadaan di mana negara Malaysia merupakan negara pengekspot “net” (net exporter) dan mampu untuk menyerap kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.

Angkatan Muda ingin memberikan penegasan bagi pihak rakyat Malaysia bahawa PM Abdullah wajib menjelaskan kepada rakyat kemanakah perginya keuntungan Petronas yang turut naik hasil daripada kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa?

Menurut laporan kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2005 lalu, keuntungan Petronas ialah sebanyak RM 137.046 billion, meningkat sebanyak 40.5% berbanding tahun 2004. Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti ialah sebanyak RM 35.556 billion meningkat sebanyak 50.3% berbanding dengan tahun 2004. Dana bagi pemegang saham sahaja atau tabungan berjumlah 129.383 billion meningkat sebanyak 26 % berbanding dengan tahun 2004. Persoalannya, apakah rakyat masih lagi ingin dibebankan dengan kenaikan harga minyak walhal hasil negara terus meningkat ? Apakah subsisdi sebanyak RM 4 billion yang di nyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri tidak boleh ditampung oleh Petronas ?

Walaupun PM Abdullah cuba mengaburi mata rakyat dengan memberikan perbandingan harga minyak dengan Negara-negara ASEAN yang lain, hakikatnya Malaysia adalah negara pengekspot “net” (net exporter) dan mampu untuk menyerap kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.

Angkatan Muda merasakan bahawa harga minyak di Malaysia tidak seharusnya di bandingkan dengan Negara-Negara ASEAN kecuali Brunei. Selain dari Brunei, kesemua Negara-Negara ASEAN adalah PENGIMPOT minyak (temasuk Indonesia semenjak 2004). Jadi, tidak hairan sekiranya mereka terpaksa menaikkan harga minyak. Brunei pula tidak perlu menaikkan harga minyak kerana Brunei adalah Negara pengekspot minyak, seperti Malaysia. Kenaikkan harga minyak hanya akan menambah keuntungan dalam Negara mereka.

PM Abdullah nampaknya begitu senyap dan sunyi tentang kenaikan keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas. Ini menyebabkan rakyat Malaysia kebingungan kerana pada waktu yang sama rakyat dihimpit dengan kenaikan harga minyak yang semakin tinggi.

Angkatan Muda juga melihat bahawa kenaikan harga minyak hanya akan merugikan rakyat serta kerajaan Malaysia. Dengan tekanan inflasi yang semakin meninggi, kadar faedah yang dinaikkan dan ini akan menyebabkan kerugian kepada perbelanjaan kerajaan dari segi kenaikkan jumlah pembayaran hutang kerajaan.

PM Abdullah seharusnya memikirkan kaedah untuk mengurangkan beban perbelanjaan mengurus dari sudut lain dan bukan tertumpu hanya kepada penarikan subsidi minyak. Pakar ekonomi menyatakan bahawa perbelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 20% sekiranya amalan rasuah, kronisma dan nepotisma dapat diminimakan atau dihapuskan.

PM Abdullah seharusnya memikirkan jalan untuk menambah ketelusan serta kebebasan rakyat membetulkan perjalanan operasi kerajaan. Ini akan mengurangkan tahap rasuah, kronisma serta salah guna kuasa yang menjadikan tanggungan perbelanjaan kerajaan menjadi tinggi dan hutang kerajaan menjadi semakin bertambah.

Langkah-langkah berikut adalah antara cadangan Angkatan Muda bagi mengurangkan kos operasi kerajaan:

 

  1. Menjalankan tender terbuka dan menghentikan tender secara terus kerana ini akan mengurangkan kos apa-apa projek kerajaan;
     

  2. Menjalankan analisa “cost-benefit” secara mendalam bagi apa-apa projek yang dicadangkan oleh kerajaan;
     

  3. Menghapuskan akta draconian OSA, ISA, akta Mesin Cetak dan Media Elektronik, Akta Polis supaya perjalanan kerajaan menjadi telus dan rakyat bebas untuk mencegah rasuah yang berlaku di dalam operasi kerajaan. Langkah ini akan menjamin penurunan tanggungan kos;
     

  4. Menambahbaik sistem pengangkutan awam supaya rakyat dapat memilih untuk tidak memandu kenderaan mereka;
     

  5. Memberikan insentif bagi teknologi-teknologi alternatif seperti NGV bagi mengurangkan pergantungan kepada enjin yang menggunakan Petrol dan Diesel.

     

Setelah diberi peluang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri selama hampir tiga tahun Angkatan Muda beranggapan bahawa PM Abdullah adalah terlalu lemah dan tidak mampu lagi mentadbir negara ini. Rakyat Malaysia inginkan kepimpinan yang cekap, bertenaga dan berwibawa. Rakyat perlukan perubahan kepimpinan. Selesaikan masalah kenaikan harga minyak segera atau letak jawatan !

Selamatkan Rakyat !




Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Ketua, Angkatan Muda Keadilan Malaysia
019 341 3312 / shamsuliskandar@yahoo.co.uk

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762