|
Kenyataan
Media
Merujuk kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-9
(RMK-9) oleh perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi
petang Jumaat kelmarin, Angkatan Muda Keadilan
Bahagian Kangar (AMK Kangar) mengambil sikap
menyokong usaha PM untuk memajukan lagi sektor
pertanian selaras dengan hasrat kita semua bagi
mencapai tahap pertanian sara diri kerana pertanian
merupakan sektor strategik yang penting agar jaminan
keselamatan negara terpelihara.
Sehubungan dengan itu, kami juga mencadangkan agar
subsidi dalam bidang pertanian ini dapat
dipertingkatkan lagi oleh kerajaan sebagaimana dasar
kerajaan Jepun yang memperuntukkan satu jumlah
subsidi yang besar untuk sektor pertanian walaupun
negara tersebut merupakan sebuah negara
perindustrian yang maju.
Peruntukan yang ditambah kepada RM200 bilion dalam
RMK-9 berbanding hanya RM170 bilion dalam RMK-8
menjanjikan peluang projek yang lebih besar untuk
diagihkan kepada kontraktor di seluruh negara. Kami
ingin menegaskan agar tender terbuka dibuat bagi
setiap projek dalam RMK-9. Sekiranya amalan tender
tertutup seperti sekarang terus dilakukan, akhirnya
ianya cuma diagih-agihkan kepada kroni tertentu
pemimpin sahaja.
Amalan tender tertutup amat bertentangan dengan
Pelan Integriti Nasional yang sedang digerakkan oleh
kerajaan kononnya sebagai satu langkah untuk
membenteras rasuah. Bagi membuktikan kerajaan
benar-benar bertegas untuk membasmi rasuah, kami
menggesa agar Badan Pencegah Rasuah dan institusi
peguam negara mestilah diletakkan terus di bawah
Parlimen, bukannya Jabatan Perdana Menteri lagi.
Rasuah adalah musuh nombor satu negara kerana amalan
rasuah selama ini telah menyebabkan negara mengalami
kerugian berbilion-bilion ringgit. Jerung-jerung
rasuah yang masih berleluasa wajib segera dibawa ke
muka pengadilan sebagai satu langkah berani
khususnya oleh PM untuk membersihkan kerajaannya.
AMK Kangar juga ingin melahirkan rasa khuatir dengan
jumlah peruntukan sebanyak RM 16.8 bilion untuk
sektor pertahanan negara yang lebih besar berbanding
dengan peruntukan untuk kesihatan rakyat yang hanya
berjumlah 11.5 bilion sahaja. Dengan siapakah kita
sedang berperang sekarang sehingga memerlukan
peruntukan yang besar ini? Rekod menunjukkan bahawa
kita telah mengalami kerugian yang amat besar dalam
perihal pembelian peralatan perang yang
kebanyakannya kita beli barang terpakai (second
hand), harga yang mahal dan akhirnya telah
mengorbankan banyak nyawa akibat kejadian pesawat
terhempas. Justeru, kami menuntut satu Kertas Putih
dibentangkan di Parlimen tentang pembelian
kelengkapan pertahanan negara!
Rakyat sedang dibebankan dengan kenaikan kadar
inflasi akibat kenaikan harga bahan bakar. AMK
Kangar menuntut supaya kadar kenaikan harganya
sebanyak 30 sen dapat dikaji semula dan rakyat
berhak untuk terus menikmati subsidi harga bahan
bakar seperti sebelum 28 Februari kerana rakyat
memiliki Petronas yang saban tahun mengaut
keuntungan berpuluh-puluh bilion.
AMK Kangar juga menuntut kerajaan supaya
membentangkan aliran kewangan Petronas terus kepada
Parlimen. Rakyat sedang menunggu untuk mengetahui ke
mana perginya lebih daripada RM 500 bilion wang
Petronas sejak minyak ditemui di dalam negara.
Akhir sekali, AMK Kangar mengalu-alukan penyenaraian
Perlis sebagai salah sebuah negeri koridor
pembangunan utara dalam RMK-9. Justeru, kami
mencadangkan agar kerajaan turut menyediakan
peruntukan dalam RMK-9 untuk projek pelebaran jalan
utama Kangar-Alor Setar bagi merancakkan pertumbuhan
ekonomi negeri kami.
Oleh:
Zamri Bin Sapar
Ketua Angkatan Muda Keadilan Bahagian Kangar, Perlis
013-414 9841
amk_kangar@yahoo.com
|