BALIK KE MUKA UTAMA


 

Maka yang tinggal hanya alasan
siri mendefinisikan Pak Lah
Anuar Mohd Nor
editor1@umno-reform.com
012-6544762

Terbaca saya satu kenyataan dalam sebuah buku lama " The Musa Dilemma (1986) tulisan K. Das yang berbunyi " when reasons are only excuses, the truth must perish". Kenyataan ini memerangkap minda saya kerana ini seolah - olah memberi saya satu impak yang menggambarkan situasi politik negara ini, khususnya yang melibatkan kepimpinan yang wujud sekarang ini.

Apakah sungguh, fenomena kebenaran PASTI lenyap ini sedang berlaku di negara kita. Apakah benar, kita akan menghadapai krisis yang terbesar - lebih besar dari segala krisis yang ada - berlanjutan dan merugikan bangsa Melayu dalam konteks perebutan kuasa. Ini baru berbicara dalam konteks Melayu yang terlalu rapat tersimpul dengan kuasa yang ada. Kita belum lagi menceritakan tentang impak terhadap seluruh rakyat Malaysia. Apa hala tuju negara - apa nasib bangsa dan rakyat keseluruhannya.

Hari ini rakyat digegarkan dengan gesaan untuk  ubah gaya hidup, jangan berbelanja berlebihan, jangan harapkan subsidi dan  menerima sahaja segala keputusan kerajaan. Gesaan dan arahan ini di beri hasil perbuatan menaikkan harga minyak secara drastik - mengakibatkan harga barangan lain bergegar sedang menunggu loncatan peningkatan harga. Kita juga hari melihat kenyataan  - kenyataan Pak Lah - sokong keputusan kerajaan kerana kita dari UMNO dan Barisan Nasional adalah penyokong kuat kerajaan, jangan berdiri di tengah - tengah, hadir dan beri penjelasan bahawa penjimatan subsidi ini akan memberi ruang lebihan wang untuk kita agihkan - kepada pengangkutan - sektor pembinaan dan kepada infrastruktur bagi memudahkan rakyat yang sedang tenat mencari nafas untuk terus hidup. Kita pastikan tidak ada ketirisan seperti mana yang berlaku sekarang ini yang menjadikan rakyat khususnya Melayu tersungkur di pintu Malaysia. Apakah ini bukan alasan - alasan yang diwujudkan bagi menutup kebenaran yang sedia ada. Apakah kebenaran yang mahu diselindungi tersebut?  

Antara yang paling menarik ialah kenyataan penasihat FOMCA Prof Dr Hamdan - negara lain tidak ada subsidi dan rakyat negara ini perlu bersaing seperti negara - negara  lain yang tidak ada subsidi, dalam mengulas isu kenaikan harga minyak. Malangnya sekali lagi alasan - alasan ini  bakal membunuh kebenaran.

Apakah kita lupa hakikat sebenar mengenai pendapatan  - hakikat "standard of living"  , gaji minimal atau "minimum wage" dan yang paling penting adalah kewujudan "alternative" dalam berbelanja di negara - negara lain. Kita hanya membuat perbandingan bagi mencari satu alasan untuk justifikasi peningkatan harga sedangkan perbandingan itu tidak setara dan hanya membentuk alasan  - alasan yang membunuh apa yang dikatakan kebenaran tadi.

Merujuk kepada rakyat, atas alasan kepentingan rakyat

Akhirnya mereka, kepimpinan negara ini merujuk kepada rakyat untuk mendapatkan sumber kewangan atas alasan kepentingan rakyat. Kita terpaksa dibebani dengan peningkatan kos hidup atas alasan pembangunan untuk kita. Kita seolah -  olah dipersalahakan dan kita harus membayar kesalahan ini. Di samping itu , kerajaan mendabit dada menceritakan bahawa indeks itu dan ini meningkat menunjukkan negara ini bertambah maju dan kerajaan berjaya dalam menambahkan hasil untuk di agihkan kepada rakyat semua. Petronas - mendaftar keuntungan yang berlipat kali ganda, Tenaga Nasional turut muncul dengan kejayaan serupa, perindusterian meningkat - nilai eksport bertambah dan rakyat patut berbangga.

Apa pun semua ini gagal di terjemahkan kepada kemakmuran rakyat. Semua kejayaan ini tidak dapat di rasa dan di nikmati sebagai satu kemewahan kepada rakyat negara ini. Apa ertinya kejayaan syarikat - syarikat ini sekiranya ianya tidak di terjemahkan kepada kemakmuran rakyat. Apalah ertinya infrastruktur jalan yang moden - sekiranya kita masih perlu membayar tolnya, peningkatan harga rumah - kos kehidupan yang menjulang naik dengan kejayaan syarikat - syarikat mengaut keuntungan. Maka rakyat juga menjadi mangsa dan rakyat di rujuk untuk kemakmuran segelintir mereka yang punya kuasa untuk memakmurkan diri mereka sendiri.

Hari ini kita lihat pelbagai alasan - bagi terus mengaburi apa yang sebenarnya berlaku dalam negara ini. Apakah tidak benar kenyataan " when reasons are only excuses, the truth must perish". Persoalannya - kebenaran apa yang terpadam oleh alasan - alasan yang wujud. Apakah kesempitan wang - mengapa dan kenapa? Apakah kerana kita hari ini membayar kos - kos rasuah - kenapa di biarkan. Maka Pak Lah dan anggota kabinetnya terus di selar kerana gagal membawa manifestasi agenda rakyat untuk rakyat. Apa yang kita nampak, muka - muka yang kononnya berpengalaman terus menerajui kepimpinan dan yang paling menyedihkan adalah mereka masih dengan slogan sama - berkerja untuk Pak Lah.

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762