|
Perhimpunan Agung UMNO - Rasuah politik dan isu Tan Sri Isa Samad, mampukah di bawa oleh ahli?
Tidak ada agenda dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang membicarakan isu - isu hangat seperti rasuah politik kata Timbalan Presiden UMNO, namun ahli tidak di halang untuk menyentuh isu tersebut.
www.umno-reform.com menerima banyak perkara yang sepatutnya di bicarakan dalam Perhimpunan Agung tersebut khususnya mengenai diskusi rasuah wang.
Antara isu yang kami terima yang perlu di kupas termasuk keputusan Lembaga Disiplin terhadap Tan Sri Isa Samad. www.umno-reform.com menerima banyak email yang mengatakan bahawa tindakan ke atas Isa Samad antara lain tidak menunjukkan kesungguhan menangani isu politik wang tetapi lebih kepada beberapa agenda politik yang perlukan pengorbanan.
Mahu tidak mahu Lembaga Disiplin dikatakan gagal menarik kepercayaan ahli terhadap kehadiran mereka. Lembaga Disiplin memerlukan Pak Lah untuk menjadi pembela kepada keputusan mereka dan bagi ahli ini menggambarkan bahawa Lembaga Disiplin perlu perlindungan dari terus di kritik setiap keputusan mereka.
Satu email menarik kami terima adalah persoalan kenapa kita tidak boleh mengkritik Lembaga Disiplin? Apakah kita sebagai ahli akan di ambil tindakan hanya kerana mengkritik kewibawaan atau prosedur mereka dalam menjalankan tugas mereka sebagai guru disiplin. Mereka harus berani di kritik dan mereka perlu menjawab kritikan dan bukan berselindung di sebalik kain Pak Lah.
Email seterusnya mengatakan bahawa ahli UMNO harus berani dalam perhimpunan akan datang mempersoalkan komposisi Lembaga Disiplin yang dikatakan mampu bertindak berat sebelah. Mereka perlu telus dan tidak tersorok - sorok dalam melakukan tanggungjawab.
Dalam isu Tan Sri Isa Samad, apakah kes ini kes terpencil yang menunjukkan bahawa hanya beliau yang melakukan rasuah? Alasan mengatakan tidak ada laporan harus di sangkal kerana sewaktu pemilihan kita dihebohkan dengan kehadiran jawatankuasa pemantau. Apakah hasil dari jawatankuasa tersebut? Apakah keputusan mereka juga mengatakan bahawa Tan Sri Isa Samad sahaja yang melakukan politik wang atau apa yang dikenali sebagai rasuah wang.
Rasuah wang yang ada had waktu untuk melapor
Kesalahan rasuah wang adalah kesalahan yang serius. 2 penggal penggantungan Isa Samad mampu membunuh politik
beliau dan menguburkan segala usaha dan jasa yang pernah dibuat. Hukuman memang setimpal dengan kesalahan tetapi apakah kesalahan sebegini serius ada had waktu pendek untuk di buat laporan.
Menurut email tersebut, rasuah politik adalah serius. Oleh kerana ianya serius, mengambil tindakan harus dilakukan dengan kadar menyeluruh dan bukan hanya untuk menunjukkan keseriusan UMNO menangani rasuah dengan membuat apa yang di sebut kes ujian. Dalam kes Isa Samad, beliau yang di tuduh dan dijatuhkan hukuman perlu tahu siapa yang membuat tuduhan bagi memberi beliau keadilan yang menyeluruh.
Tidak ada dalam dunia ini keadilan sekiranya pertuduhan di buat secara sulit. Kredibiliti tertuduh perlu di ketahui dan bukan hanya di ukur dari mata panel Lembaga Disiplin. Kita perlu ingat tertuduh adalah pemegang jawatan dan sewaktu memegang jawatan banyak keputusan yang di buat mungkin menyebabkan ada usaha - usaha balas dendam. Ukuran kredibiliti saksi dan pengadu perlu diambil kira. Dalam hal ini - apa yang jelas ialah seseorang yang di tuduh itu akan hadir hanya untuk sesi pertanyaan dan dalam kes Isa Samad se olah - olah keputusan telah di buat.
Perundangan dan prosedur
Lembaga Disiplin membentuk prosedur mereka dan apa yang mereka fikir tepat untuk meneliti dan menghukum. Mereka dalam melaksanakan tindakan hanya bertindak mengikuti apa yang di rasakan betul dan tidak ada garis panduan dan kes rujukkan di buat untuk menyempurnakan keadilan. Bagi mereka itulah keadilan dan selainnya Pak Lah akan jawab. Menurut pandangan yang di terima mengenai isu rasuah politik ini, keadilan yang tidak nampak jelas hanya satu kezaliman kepada yang menerima tindakan.
Isa Samad mungkin melakukan rasuah politik, tetapi satu faktor yang penting ialah kesalahan Isa Samad itu perlu jelas dan ahli akur tanpa ragu bahawa Isa Samad memang bersalah.
Dalam hal ini, kesangsian berlaku. Lembaga Disiplin sebelum ini juga di kritik di persoalkan kredibiliti dan kewibawaan mereka. Kritikan dan persoalan kredibiliti perlu ditangani sebelum mereka terus membuat keputusan yang sehingga hari ini di ragui.
Keraguan ini hanya menimbulkan persoalan betapa serius sebenar hasrat UMNO untuk membasmi rasuah politik. Sekiranya keraguan wujud maka perkara asas membasmi rasuah politik akan bertukar menjadi senjata dalam politik. Ini tidak akan menyelesaikan masalah politik wang atau rasuah politik yang merupakan satu kanser dalam UMNO.
Tidak akan ada perubahan
Namun satu email yang menarik dan bagi kami paling menarik berbunyi seperti berikut " Ahli UMNO akan terus akur dan tidak akan bangkit mempersoalkan isu rasuah politik ini" Mereka akan hanya akur kerana mereka tahu mengkritik dalam UMNO adalah satu dosa lebih berat dari dosa melakukan rasuah wang. Mereka akan hadir bersidang dan pulang ibarat bertandang tanpa
hasil sebarang.
UMNO kekal - dahulu kini dan selamanya.
|
|
Interaksi
atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
|