|
Kenyataan Media 9 Jun 2006
Ada Apa Dengan Mahathir?
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius
isu campurtangan Mahathir terhadap urusan pentadbiran kerajaan
BN hari ini.
Pimpinan tertinggi Parti-parti Pembangkang telah mengemukakan
pelbagai pandangan mengikut sisi masing-masing. Maka haruslah
ada satu rasa penghormatan diatas dasar memberi dan menjawab
kilasan pandangan yang tercakna dari pelbagai dimensi pemikiran.
Segalanya berpunca kerana seorang manusia yang bernama "Mahathir"
yang ditakrifkan sebagai "Panglima Pencen" masakini.
DPPWP bersetuju dengan YB. Salahuddin yang melihat bahawa,
kehadiran kritikkan pedas Mahathir terhadap dasar-dasar Kerajaan
BN pimpinan Pak Lah kini hanyalah sekadar membuka pekung didada.
Sama ada itu semua gimik politik atau tidak, hanya Mahathir dan
Pak Lah sahaja yang tahu.
Dalam perspektif yang lain, DPPWP melihat bahawa tiada sebab
mengapa ahli-ahli Parti alternatif hari ini harus berasa
canggung dengan kata-kata sinis YB Salahuddin yang meletakkan
Mahathir sebagai "Ketua Pembangkang" dewasa ini.
Disebalik kata-kata beliau itu, pemimpin-pemimpin pembangkang
yang kini mewakili rakyat di Parlimen harus tersedar dari mimpi
indah mereka dan bangkit ke hadapan bagi mempertahankan hak-hak
rakyat.
Pelbagai isu telah dibangkitkan oleh Mahathir, tetapi
pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain buat apa? Kini DPPWP
melihat, kehadiran pembangkang di Parlimen tidaklah sehebat sesi
sebelum ini.
Kebanyakkan pemimpin pembangkang tidak serius dalam perbahasan
mereka. Sebaik sahaja keluar dari Parlimen, mereka tidak
menyambung perjuangan mereka bersama rakyat diluar. Akibatnya,
Pak Lah dan pimpinan BN lain berani membiarkan pemimpin korupsi
seperti Rafidah Aziz dan Samy Vellu terus berkuasa.
Melalui Rafidah, Pak Lah juga telah memerangkap Proton dalam
himpitan persaingan FTA-AFTA. Projek Jambatan Indah yang telah
memakan jutaan duit rakyat pula, terhenti begitu sahaja ekoran
tekanan Singapura.
Harga minyak semakin naik, diikuti dengan tariff elektrik. Kini
negara dibebankan pula dengan isu kekurangan gula dalam pasaran
ekoran desakkan serius Syarikat pengeluar dan pemborong yang
mahukan harga gula dinaikkan ekoran dari kenaikkan harga minyak
sebelum ini.
Pak Lah kelihatan seolah-olah sudah tidak mampu untuk meneruskan
langkahnya. Dirian beliau semakin rapuh dicelah-celah serangan
bertali arus Mahathir dan juga sebahagian Pimpinan BN yang
berbahas di Parlimen.
Dalam pada itu, kini ada kalangan rakyat yang melihat kualiti
perbahasan ahli-ahli Parlimen BN yang mengkritik dasar-dasar BN
sendiri lebih baik dari Pembangkang. Walaubagaimana pun DPPWP
tidak menafikan bahawa masih ada kalangan ahli Parlimen
pembangkang yang mampu berhujah dengan baik.
Rakyat telah lama menyaksikan perkara ini. Apa yang pelik,
kenapa baru sekarang pimpinan Barisan Alternatif (BA) dan DAP
bersuara tentang pengaruh kritikkan Mahathir.
Kenyataan DAP dalam Harakahdaily hari ini yang bertajuk "DAP
nasihat Mahathir jangan campur urusan PM " pula telah menafikan
prinsip kebebasan bersuara untuk semua rakyat.
Ini bertentangan dengan perjuangan kebebasan bersuara yang
dilaungkan-laungkan DAP sebelum ini. Apakah kerana kemenangan
kecil DAP di Sarawak baru-baru ini, DAP telah berasa selesa dan
tidak lagi berminat untuk menegur dan memperbaiki kerajaan serta
situasi yang ada. Adakah dengan Mahathir berdiam akan dapat
menyelesaikan semua masalah.
Bagi DPPWP, segala kenyataan atau 'perang' Mahathir terhadap
kepimpinan Pak Lah sekarang perlu dianalisa rakyat dan pimpinan
Pembangkang. Apa yang berlaku antara zaman Mahathir dan Pak Lah
bukanlah dua perkara yang berbeza kerana perjuangan Pak Lah
adalah kesinambungan dosa-dosa Mahathir yang tidak sesekali
dilupakan rakyat.
Cuma, rakyat berminat untuk tahu cerita keseluruhan berkaitan
dengan kontraversi isu-isu semasa seperti Permit AP, Proton,
Pembatalan Projek Jambatan Indah dan lain-lain isu.
Walaubagaimana pun, tidaklah menjadi cita-cita untuk PAS dan BA,
mendewa-dewakan Mahathir, apalagi untuk mempergunakan kesempatan
yang ada atas pembongkaran demi pembongkaran yang Mahathir
lakukan.
Tindakan DAP untuk menutup ruang bersuara di pihak Tun Mahathir
seolah-olah satu percubaan untuk mempertahankan kerosakkan yang
dilakukan oleh Pak Lah, seterusnya menutup ruangan bagi segala
pendedahkan atas kepincangan Kerajaan BN.
Oleh itu, DPPWP mengingatkan agar pihak DAP tidak bermain tarik
tali dengan rakyat dan bermain kenyit mata dengan Pak Lah dari
jauh. DPPWP menyeru agar DAP serius dalam menyuarakan
desakkan-desakkan rakyat di Parlimen dan juga mengambil ruang
yang ada untuk terus memperjuangkan prinsip kebebasan bersuara.
Bukan untuk Mahathir tapi untuk semua rakyat yang ingin
mengetahui segala penipuan BN selama ini.
"Memulihkan Demokrasi, Mendaulatkan Islam"
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
|