BALIK KE MUKA UTAMA

Email dari pelayar ( bukan pedapat www.umno-reform.com )

PERLUKAH PEMIMPIN IKLANKAN WAJAH MEREKA DI SELURUH PELOSOK NEGARA?

Oleh Abang Mahmor

Kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi belum pun sampai satu penggal. Sudah banyak sangat diperkatakan tentang pemerintahannya yang bermula dengan banyak gurindam daripada kesan positif dari kesinambungan kepimpinan Tun Dr Mahathir.

Yang nyata ialah slogan Cemerlang, Gemilang, Terbilang terus menerus diulang dan dijulang. Apa yang gemilang, apa yang terbilang dan apa yang cemerlang? Yang sudah ternyata, banyak duit hilang dan banyak sudah pecah tembelang.

Paling ketara ialah para hipokrit politik menyanjung slogan itu tanpa mengetahui bagaimana mahu mengulas signifikannya. Malah belum pernah dihuraikan maksud di sebalik slogan indah itu.

Hingga ada pemimpin negeri yang memaparkannya di papan-papan tanda hanya mengandungi slogan itu dengan meletakkan gambar wajah mereka bersama Pak Lah.

Di mana-mana ceruk papan iklan sudah memaparkan wajah masing-masing bersama Pak Lah baik bersama Cemerlang, Gemilang dan Terbilang atau Islam Hadhari.

Yang penting nampaknya bukan slogan atau title Islam Hadhari, tetapi wajah mereka ada bersama Pak Lah.

Tindakan hipokrit ini hingga melarat di bontot teksi seperti pemimpin PPP, M. Kaveas pun tumpang sekaki mengiklankan dirinya bersama Pak Lah kononnya memaparkan iklan merdeka.

Tidakkah semua itu sesuatu yang dilihat janggal apabila pemimpin kita menggila-gila mengiklankan diri mereka bersama perdana menteri di mana-mana ceruk pelosok yang tidak membawa apa-apa erti kepada rakyat jelata.

Cukup berbeza zaman sebelum ini pemimpin yang suka melihat gambar mereka bersepah di jalanan menggantikan iklan jenama barangan.

Dulu, hanya gambar Yang DiPertuan Agung dan Permaisuri sahaja kelihatan di pejabat-pejabat dan di gedung-gedung perniagaan.

Sekarang gambar perdana menteri pula sudah bersepah di tepi-tepi jalan yang tidak keterlaluan dikatakan sudah jadi bahan memuakkan.

Nampak sangat hari ini, pemimpin kita terlalu laparkan publisiti hingga tidak jemu-jemu membenarkan diri mereka dipaparkan sedemikian rupa. Takut sangat rakyat tak kenal akan diri mereka yang sudah boleh dituduh bersifat riak kepada masyarakat umum.

Tidakkah kerja ini memalukan atau boleh menaikkan semangat mereka sendiri apabila dirinya dipaparkan sedemikian rupa?

Saya ingin merayu kepada perdana menteri yang bijaksana tolonglah nasihatkan anak-anak buah supaya hentikanlah kerja mengiklankan wajah masing-masing bersama beliau yang sudah di tahap amat memuakkan.

Lebih baiklah jika papan-papan tanda itu digantikan dengan iklan yang lebih berfaedah seperti makluman kemalangan jalan raya yang kian meningkat, iklankan nombor-nombor telefon hotline pihak-pihak berkuasa tempatan untuk memudahkan orang ramai membuat urusan.

Kempen politik sudah berlalu. Rakyat sudah membuat pilihan dan sekarang bukan musim kempen lagi, maka yang perlu ialah tindakan wajar dari pemimpin menjalankan kerja untuk rakyat yang sudah bagaikan hilang haluan untuk meneruskan kerja harian.

Marilah kita luangkan waktu sejenak dan memikirkan apakah perlu wajah pemimpin kita bersepah di tepi-tepi jalan dan falsafah-falsafah yang tidak membawa erti kepada rakyat.

Tak malukah kita melihat wajah-wajah pemimpin besar kita bersama slogan atau iklan yang tidak memberikan kesan kepada rakyat yang menuntut keselesaan yang lebih bermakna?

Tak menyampahkah kita melihat paparan yang lebih menyemakkan pandangan sahaja?


Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762