Kenyataan Media
Kenapa saya kata Pak Lah Perdana Menteri
yang lemah ?
Saya ingin mengulangi penegasan yang telah
saya lakukan semasa program Debat Perdana
pada 12 Mac 2006 lalu yang disiarkan secara
langsung melalui TV 1 bahawa Malaysia
mempunyai seorang Perdana Menteri yang lemah.
Pada malam tersebut, saya telah membawa
sekurang-kurangnya tiga contoh yang jelas
iaitu:
-
Kegagalan Perdana Menteri untuk meluluskan
permit surat khabar rasmi Parti Keadilan
Rakyat iaitu Suara Keadilan walaupun Parti
Keadilan Rakyat merupakan sebuah parti yang
berdaftar. Permohonan permit telah dilakukan
semenjak tujuh tahun yang lalu. Kebebasan
media dan maklumat merupakan prasyarat
kepada sebuah kerajaan yang demokratik.
-
Kegagalan Perdana Menteri untuk menangani
isu-isu yang berkaitan dengan kedudukan
istimewa orang Melayu di mana secara
khususnya saya merujuk kepada dasar kerajaan
pimpinan beliau mengenai pengajaran
Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris,
AP (approved permit) yang
dianugerahkan kepada segelintir elit
pemerintah dan anugerah biasiswa yang pada
waktu sekarang ini tidak lagi dinikmati oleh
pelajar Melayu.
-
Kegagalan Perdana Menteri untuk memahami
masalah dan beban rakyat yang terpaksa
menanggung beban akibat daripada kenaikan
harga minyak sebanyak 30 sen.
Saya percaya penilaian dan pandangan saya
bahawa PM Abdullah merupakan seorang Perdana
Menteri yang lemah turut dikongsi oleh
sebilangan besar rakyat Malaysia termasuk
beberapa bekas pimpinan kerajaan. Yang
terbaru ialah kenyataan bekas Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang
menyatakan secara diplomatik bahawa
kenaikan harga minyak di Malaysia boleh
dielakkan sekiranya kerajaan mengambil
tindakan dengan mengukuhkan mata wang kerana
dengan mengukuhkan mata wang, harga minyak
sebenarnya tidak akan menjadi terlalu tinggi.
Dalam erti kata yang lain, pandangan beliau
memberikan satu perspektif bahawa kerajaan
di bawah pimpinan PM Abdullah adalah lemah
dan tidak berwibawa.
Justeru, saya percaya tindakan YB Wee Ka
Siong yang menganggap bahawa kenyataan saya
mengkritik PM Abdullah seorang Perdana
Menteri yang lemah sebagai satu kenyataan
yang BIADAP, menggambarkan tentang bagaimana
semangat demokrasi khususnya kebebasan
memberikan pendapat dan pandangan telah mati
di dalam sebuah negara yang dianggap sebagai
negara yang demokratik. Apatah lagi,
pandangan seperti ini keluar dari mulut
seorang pimpinan muda kerajaan yang
sepatutnya mempunyai pandangan yang lebih
progresif dan terbuka.
Saya dengan ini membuat cabaran rasmi dengan
mana-mana pimpinan muda parti pemerintah
untuk berdebat dengan saya tentang penegasan
saya bahawa Malaysia mempunyai sorang
Perdana Menteri yang lemah dan beliau perlu
berubah segera !
Shamsul Iskandar Mohd Akin