|
Cabaran Pak Lah - bersihkan kepimpinan
UMNO dari korupsi, maka tercapailah Agenda Melayu
Kita mengatakan bahawa padang itu harus sama rata dalam kita mahu
keharmonian bangsa. www.umno-reform.com juga menyebut pernah menyebut
bahawa padang itu tidak sama rata dalam persaingan ekonomi antara kaum
di Malaysia. Hari ini kita mengupas persoalan baru "Adakah padang itu
sama rata dalam persaingan sesama Melayu itu sendiri"
Kepimpinan kita harus sedar bahawa kegelojohan kita melahirkan
bumiputera Melayu bertaraf jutawan kita juga telah melahirkan golongan
pemunggah yang rakus menyapu bersih apa sahaja kontrak yang ada. Kami
pernah berdepan dengan seorang kontraktor Ali Baba Melayu yang memegang
hampir kesemua lesen perniagaan dari A hingga ke F. Mereka terbit dari
polisi hasrat kerajaan untuk melahirkan sekurang -kurang 10 bumiputera
bertaraf jutawan.
Sebenarnya kedudukan Melayu memang terancam bukan sahaja oleh kepantasan
kaum - kaum lain mengejar kekukuhan ekonomi tetapi di ancam oleh
perlaksanaan dasar yang korup dan tidak jujur.
Bukan mudah untuk menyelesaikan masalah Melayu mengancam Melayu tetapi
asas yang sebenarnya ialah kejujuran kerajaan khususnya kepimpinan UMNO
untuk melaksanakan apa yang sebenarnya di laungkan. Kita seperti yang
dikatakan sebelum ini tidak mahu melihat ulang tayang DEB yang mana
tidak ada perubahan dalam pencapaian. Kita mahukan perubahan total dan
dalam mendesak perubahan ini kepimpinan UMNO seperti yang dikatakan oleh
Presiden harus bersikap lapang dada terhadap kritikan.
Ahli UMNO setakat perhimpunan lepas masih tidak berani bersuara
khususnya mengkritik secara terbuka kepimpinan mereka. Mereka terus
beralas dan hanya meriah apabila sama ada untuk bersorak atau bertepuk
tangan. Perhimpunan itu saya yakin akan memberi caj - caj tertentu dalam
usaha kebangkitan Melayu tetapi akhirnya realiti akan datang juga yang
mana mereka akan terus melakukan kembali apa yang mereka rasa selesa,
mencari projek untuk kronis dan melupakan kembali ikrar untuk bangsa
Melayu.
Kemelut Melayu tidak akan berakhir sekira proses pembersihan kerajaan
tidak dilakukan. Setiap Kementerian harus di teliti dengan penelitian
yang halus. Persoalan - persoalan seperti pemberian kontrak harus telus
dan saksama. Kita tidak mahu isu - isu seperti kegagalan menyiapkan
makmal sekolah mencemar nama Melayu sedangkan kita tahu Melayu mana yang
dapat projek itu kalau bukan Melayu UMNO dan kenalan kepimpinan UMNO.
Memang susah untuk di buktikan tetapi tidak susah untuk melakukan.
Hari ini kita lihat ada perbezaan hebat antara jurang taraf ekonomi
antara Melayu itu sendiri. Kita tidak perlu menyorokkan lagi isu kenapa
kita harus berusaha untuk merebut jawatan EXCO Pemuda UMNO? Kita mahukan
jawatan dalam UMNO untuk apa ?
www.umno-reform.com tidak berhasrat mengeluarkan kenyataan - kenyataan
yang agak keras dan melampau tetapi hakikatnya adalah perjuangan Melayu
bagi kami perlu dilaksanakan dengan mengambil langkah penting -
membersihkan UMNO itu sendiri dari virus tamak haloba. Itu penting
dilaksanakan dahulu sebelum langkah lain dibuat untuk menjayakan agenda
Melayu. Perubahan dan sebarang usaha untuk meningkatkan Melayu harus
datang bermula dari kepimpinan. www.umno-reform.com amat setuju sekali
dengan kenyataan Datuk Azalina Othman dalam siri temu bual beliau dengan
RTM. Azalina antara lain berkata, kalau kita sebagai tunggak dalam UMNO
tidak bersih maka kita tidak boleh menghasilkan teladan baik untuk ahli.
Kita harus tunjukkan teladan yang baik, bebas dari rasuah dan pengamalan
budaya lampau yang pasti akan merugikan bangsa sendiri.
www.umno-reform.com percaya sepenuhnya hasrat Pak Lah untuk menyaksikan
peningkatan dalam Agenda Melayu. Saya yakin Pak Lah akan berusaha untuk
menyemarakkan kebangkitan Melayu. Namun yang penting adalah keazaman
politik mereka yang duduk menerajui kepimpinan Melayu. Barisan
kepimpinan Melayu itu sendiri perlu di ubah dan setakat perhimpunan
Agung baru - baru ini tidak nampak usaha itu boleh dilaksanakan secara
menyeluruh.
Hingga ke hari ini bagi saya padang untuk Melayu bersaing tidak rata.
Bagi www.umno-reform.com cabaran pertama kita adalah menukar budaya UMNO
dan ahli UMNO supaya lebih berani dan cekal lagi. Budaya UMNO perlu
berubah dan Pak Lah bertanggungjawab melaksanakan apa yang di janji
terhadap UMNO - membersihkan parti dari korupsi
|