BALIK KE MUKA UTAMA


Melayu itu Islam, mengapa lemah?
Achmad Soeparjo 

UNTUK catatan, bangsa Arab jahiliah merupakan bangsa paling lemah berbanding bangsa-bangsa  lain di dunia selama 310 tahun. Sejak runtuhnya empangan al-Ma’arib di Yaman tahun 300  masehi sehingga turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah tahun 610 masehi, manusia di  semenanjung Arab (sekarang Saudi Arabia) dianggap contoh sebodoh-bodoh manusia.

Melalui bimbingan Rasulullah dengan ajaran Islam selama 23 tahun, bangsa Arab berubah  dengan pantas sekali. Kira-kira 50 tahun selepas wahyu pertama diterima oleh mereka, bangsa  Arab menjadi bangsa paling hebat di dunia! Bayangkan dalam tempoh 50 tahun itu kuasa besar  Rom dan Parsi dikalahkan oleh bangsa yang sebelumnya sangat lemah dalam apa bidang pun.

Bangsa Melayu menerima Islam sudah lebih 600 tahun. Memang dalam tempoh itu ada siri  kejayaan membina tamadun Melayu-Islam seperti Melaka, Acheh, Brunei dan Johor. Namun  apabila dicabar kuasa luar, pusat tamadun melayu –Islam lumpuh! Dan sekarang dalam negara  sejak dicabar kuasa Barat dan pendatang luar, bangsa Melayu seperti tak merasa kemenangan.  Ironisnya negara telah merdeka hampir 50 tahun. Arab, 50 tahun selepas wahyu pertama  menjadi bangsa terbilang. Melayu, selepas 50 tahun merdeka seakan hilang!

Apa kelebihan Arab (zaman itu) dan apa kelemahan Melayu (zaman kini)? Kekuatan Arab  ialah keyakinan yang tinggi dengan janji Allah. Setiap ayat al-Quran yang diterima, mereka  tidak mencari ruang berdalih-dalih melaksanakannya sekalipun yakin tidak mendapat habuan  material di dunia. Pokok utamanya ialah mahu kejayaan di akhirat sana. Apa al-Quran suruh?

Suruh belajar, suruh bekerja kuat, suruh jujur, suruh perang, suruh sedekah, suruh yang  lain-lain, mereka buat. Sebahagian ikonnya, seperti Khadijah, Abu Bakar dan Usman daripada  jutawan hingga kehabisan wang, kerana ikut suruhan al-Quran. Ada juga kerana ikut suruhan  al-Quran menjadi jutawan seperti Abdul Rahman Auf.

Apa masalah Melayu dengan Islam? Punca besarnya tidak yakin sistem islam dapat membawa  kemuliaan bangsanya. Kebanyakannya mendapatkan ruang berdalih melaksanakan suruhan  al-Quran. Pokok utamanya ialah habuan yang mesti dinikmati sendiri dan keluarga, kemudian  sekitarnya. Tidak ada aktivis Melayu yang sanggup menjadi seperti Khadijah, Abu Bakar dan  Usman. Semua mahu menjadi Abdul Rahman Auf! Siapakah Melayu yang sanggup mendapatkan  kontrak-kontrak perniagaan untuk diagih-agihkan kepada kontraktor-kontraktor lain, agar  rezeki tuhan diterima dan dirasai sama-sama.

Khadijah, Abu Bakar dan Usman sangat percaya kejayaan di akhirat lalu mengorbankan  kekayaan di dunia. Dengan pengorbanan mereka, bangsa Arab itu berjaya di dunia-akhirat.  Jutawan Melayu mahu berjaya di dunia saja, sebab itu mengumpul sebanyak mungkin kekayaan,  dan menutup banyak peluang kaumnya! Nah, itulah sebagian punca kelemahan Melayu.

Secara umum, jika Arab itu sangat cintakan ilmu, Melayu pula cintakan hiburan lebih daripada ilmu. Mungkin Arab untung sebab bahasa al-Quran sama dengan bahasanya. Namun zaman  IT, apakah alasan Melayu tidak mahu memahami ajaran al-Quran? Tidak keterlaluan, sejak 600  tahun dahulu Melayu tidak memahami teks al-Quran dan doa-doa (solat) harian. Melayu  berbangga al-Quran dan sunah sebagai panduan abadi, tetapi tak faham langsung isi  kandungannya. Allah kata kaum ini seperti keldai memikul kitab (surah al-Jumu’ah).

Jika teks terjemahan al-Quran sebagai tanda aras kefahaman Melayu terhadap Islam,  wajarlah Melayu dikatakan keldai memikul kitab, buta al-Quran! Semua rumah Melayu ada peti  TV, mungkin hanya 1 peratus rumah Melayu ada teks terjemahan al-Quran. Lebih parah,  sebagian besar masjid tidak ada satu naskhah pun teks terjemahan al-Quran. Lalu jadilah  al-Quran sebagai kitab sakti, dibaca untuk menghalau hantu. Kitab ini diletakkan di tempat  tinggi, dalam almari, dibungkus kain kuning dan tidak akan disentuh kalau tidak berwudhu.

Lebih parah apabila ada bukan Islam mahu mengetahui isi al-Quran, Melayu tadi akan  menentang habis-habisan dengan alasan al-Quran kitab suci. Demikianlah orang yang tidak  tahu isi kandungan al-Quran dan terperangkap dengan dogma kosong ratusan tahun.

Kebangkitan Arab selama 50 tahun selepas wahyu pertama adalah sebaik-baik contoh  membina mana-mana tamadun manusia. Konsep asas dalam Islam seperti hubung kait  dunia-akhirat mesti dirasakan sepenuhnya. Tanpa ‘rasa’ kenikmatan akhirat, Khadijah-Abu  Bakar-Usman akan menjadi seperti jutawan-jutawan Melayu hari ini. Lantaran janji akhirat  itulah yang menyebabkan ikon-ikon Arab-Islam itu menjadi manusia pengorbanan dan sebaik-baik manusia berakhlak. Lantaran tidak yakin janji akhirat itulah ada Melayu yang  tamak bimbang tak sempat merasa dan korupsi sehebat-hebatnya.

Sekarang masanya para aktivis Melayu / Islam menggerakkan bangsa mendalami ajaran  al-Quran. Kalaulah kempen memiliki-membaca-memahami teks terjemahan al-Quran berjaya, asas  kejayaan bangsa Melayu nampak jalannya. Ilmu apa pun yang dimiliki satu bangsa, jika tidak  digunakan sebagaimana kehendak Allah, di situ sajalah. Apakah selama 50 tahun merdeka masih  kurang anak Melayu yang berilmu? Tapi di situ sajalah.
 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762