BALIK KE MUKA UTAMA

MPP IPTA TIDAK EFEKTIF DAN PRODUKTIF
Muhammad Hafiz bin Badarulzaman

Saudara pengarang,

Pemimpin mahasiswa merupakan golongan belia terpelajar yang bakal mengemudi kepimpinan Negara pada masa depan. Golongan ini seharusnya bersifat idealis dan berkarisma dalam membuat sesuatu keputusan. Mereka merupakan wakil pelajar yang dipilih oleh mahasiswa melalui pilihanraya kampus saban setiap tahun. Segala permasalahan mahasiswa perlu mereka suarakan kepada pihak universiti kerana tumpuan utama mereka ialah kebajikan pelajar. Namun realiti Majlis Perwakilan Pelajar di Malaysia amat mengecewakan dan tidak diyakini.

Isu Perbadanan Tabung Pinjaman Pelajaran Tinggi ( PTPTN ) melewatkan pembayaran bukan merupakan isu baru. Bahkan keadaan seperti ini sering berlaku beberapa tahun yang lalu. Persoalannya sekarang ialah pihak MPP tidak memainkan peranan mereka sebagai badan pelajar yang membawa suara mahasiswa. Tiada tindakan susulan dari mahasiswa untuk mengatasi permasalahan ini. Mereka sekadar membuka mulut ketika pemberian lewat diberikan oleh PTPTN dengan niat untuk mengambil hati mahasiswa yang mengundi mereka. Selepas pemberian pinjaman selesai, pemimpin mahasiswa mula membatu diri. Maka isu ini mungkin akan berulang kembali kerana pihak MPP gagal menyediakan jalan penyelesaian yang terbaik. Hal ini berlaku kerana mereka gagal menghayati Falsafah Pendidikan Negara yang diwujudkan tahun 1987 yang bertujuan untuk melahirkan individu yang berpotensi untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan Negara.

Selepas terhenti isu berkenaan dengan wang pinjaman, timbul pula isu pengangguran mahasiswa. Negara menjadi kecoh sementara dan ramai wakil menteri yang memegang portfolio yang berkenaan bersuara. Isu ini dikejutkan dengan angka mereka yang menganggur mencecah hampir ribuan graduan. Apa yang menyedihkan ialah pemimpin mahasiswa memilih jalan untuk bisu dan tidak memberi sebarang pandangan. Mereka sewajarnya membuat kolokium atau seminar dalam menangani masalah pengangguran. Hal ini bertepatan dengan saranan Dato Seri Najib Tun Razak pada tahun 2000 bahawa mahasiswa perlu memperbanyakkan forum dan seminar kepimpinan agar dapat menilai kepimpinan yang dilaksanakan sekarang. Dengan ini, mahasiswa akan berbincang dan membuat keputusan sebulat suara dalam membantu pihak kerajaan menjalankan amanah mereka.

Keadaan semakin merumitkan apabila timbul isu kenaikan harga minyak. Majority mahasiswa merupakan mereka yang mempunyai kenderaan. Walaupun mereka tidak mempunyai kenderaan tetapi mereka memerlukan kenderaan seperti pengangkutan awam untuk bergerak. Hal ini semakin meresahkan apabila mahasiswa terpaksa berdepan dengan kenaikan harga minyak dan sudah tentu kenaikan harga runcit melambung. Barang barang untuk membuat kertas kerja, alat tulis dan persiapan pengajian dijangka naik dan menyusahkan seluruh mahasiswa di Negara kita. Sungguhpun begitu, Majlis Perwakilan Pelajar masih tersalah pandang dan bagai menunggu bulan jatuh ke riba. Mereka seakan menanti keajaiban berlaku dalam menongkah cabaran semasa ini. Jalan terbaik yang sepatutnya ialah memberikan sebarang komen atau pandangan dalam memperbaiki keadaan walaupun saranan itu kecil tetapi ia mungkin bermakna. Ini sejajar dengan pesanan ahli falsafah barat Anthony Robbins, Usaha kecil mampu mencipta keputusan yang besar.[1] 

Oleh yang demikian, sebagai pewaris kepada kepimpinan Negara mereka harus bijak menentukan hala tuju mahasiswa. Program yang dianjurkan perlu up to date dan tidak sekadar stereotype. Malahan budaya menyuburkan ilmu perlu diteruskan dan segala bentuk program hiburan perlu dikurangkan. Pemimpin mahasiswa juga perlu memandang jauh dalam isu isu nasional dan antarabangsa. Ini bagi mengelakkan meraka daripada menjadi bagai katak dibawah tempurung kerana hanya mendepani isu isu kampus. Majlis Perwakilan Pelajar juga perlu lebih banyak bekerja dari banyak bercakap. Hal ini pernah diberikan teguran oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Sambutan HAri Belia Negara tahun 2003 bahawa sekiranya kita asyik bercakap, berbahas dan berpolemik maka kita akan terkeliru dan tiada sebarang perlaksanaan boleh dibuat. Justeru, sempena sambutan hari belia, pemimpin mahasiswa perlu memuhasabah kembali peranan dan sumbangan mereka kepada mahasiswa dan Negara. Lantaran itu Negara amat memerlukan belia yang efektif dan produktif. 



Sekian, terima kasih.

Muhammad Hafiz bin Badarulzaman,
15/3 Taman Bersatu,
08100 Bedong,
Kedah Darul Aman.

  Interaksi atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762