BALIK KE MUKA UTAMA


3 nama elitis Melayu akan lahir di bawah kepimpinan Pak Lah

Beberapa nama kini di sebut - sebut sebagai mereka yang akan memegang kuat ekonomi Malaysia di bawah kepimpinan Pak Lah. Untuk lebih spesifik 3 nama, seorang dari kepimpinan tertinggi UMNO dan 2 lagi dari golongan Pemuda UMNO. Kelahiran mereka yang akan memegang kuasa baik politik dan ekonomi akan sekali lagi melihat orang - orang Melayu lain terbelenggu dengan kadar pencapaian bumiputera yang hanya wujud pada asas pucuk tetapi tidak bertunjangkan kekuatan sebenarnya. Sekali lagi kita akan berhadapan dengan senario penciptaan usahawan segera yang hanya memegang pada pucuk ekonomi tetapi rapuh akarnya.

Pak Lah harus meneliti  orang - orang seperti Daim Zainuddin, Halim Saad, Tajuddin Ramli dan beberapa tokoh korporat yang lahir dari mana - mana strategi baru dari pucuk kepimpinan baru yang akan berkesudahan dengan kelemahan terus kepada bangsa Melayu. Teori melahir tokoh korporat dengan pegangan saham dan pegangan pencairan tunai tidak akan membantu Melayu pada keseluruhan. Ini akan hanya mengecilkan pembahagian - pembahagian ekonomi dan akhirnya turut melahirkan pelobi dan bukan usahawan yang memegang ekonomi keseluruhan.

Sistem melahirkan jutawan Melayu seperti yang terdapat pada kepimpinan terdahulu sudah cukup membuktikan bahawa Melayu hadir dalam sektor ekonomi hanya sebagai bayang - bayang tetapi tidak mempunyai kekuatan menyeluruh. Segelintir Melayu yang menjadi jutawan tidak menunjukkan kejayaan Melayu malah kalau di ukur secara kasar ianya hanya merenggangkan jurang antara Melayu.

Bukan berita baru

www.umno-reform.com akan mendedahkan tidak berapa lama lagi nama - nama yang harus di lihat sebagai tokoh - tokoh baru dalam permainan ekonomi negara. Namun mainan pada pegangan makro dan tidak pada mikro tidak akan dapat membantu Melayu mencapai matlamat 30% pegangan ekuiti. Kita seharusnya memberi tumpuan kepada kekuatan ekonomi dari sudut penggiat bukan dari sudut manipulasi. Penganugerahan kontrak berbillion tidak akan membantu perkembangan ekonomi Melayu kerana asas - asas pegangan longgar dalam banyak sektor khususnya seperti peruncitan dan hasil tani. Penganugerahan kontrak berbillion tidak akan membantu Melayu tetapi akan lebih memberi peluang kepada kaum lain khususnya Cina untuk terus maju meninggalkan ekonomi Melayu kebelakang.

3 nama yang di sebut adalah mereka yang hadir bukan dari keuatan tunjang ekonomi tetapi lebih kepada manipulasi pegangan saham dan pengagihan kontrak sesama sendiri. Meletakkan nama - nama mereka dan proksi mereka dalam GLC dan syarikat berkepentingan kerajaan akan hanya melihat kemunculan beberapa kerat tokoh jutawan Melayu tetapi tidak akan membawa erti yang lumayan kepada Melayu. Ini akan hanya memperlihatkan senario zaman - zaman Tun Dr Mahathir berlaku semula dan diakhir pemerintahan Pak Lah kita pasti menyaksikan RMK 9 dan Dasar Ekonomi Melayu masih diperjuangkan tanpa kejayaan. Lebih memburukkan lagi jarak kedudukan ekonomi antara Melayu dan Cina masih terus renggang dan ini tidak akan menguntungkan mana - mana pihak dari segi keharmonian dan kestabilan sosial.

Malang pisang berbuah dua kali

Jalan itu menuju kembali kepada takok lama. Kepimpinan baru akan hanya kelak menjadi penyapu baru - membersih buat seketika. Kita selalu mendengar janji - janji perubahan daripada Pak Lah. Janji - janji itu berakhir dengan sebaris ayat "tengok lah, ianya pasti berjaya". Namun berjayakan kita nanti dengan arus yang serupa diambil oleh kepimpinan baru ini? Atau akhirnya pada penghujung DEB dan RMK 9, Pemuda UMNO akan terus menjulang keris menceritakan perjuangan Melayu.

Akhirnya pisang berbuah dua kali.

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762